JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri Sabtu lalu, ditemui selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar berkata mangsa berada dalam keadaan selamat.

Menurut beliau, mangsa ditemui dengan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun sekitar jam 4.45 pagi Selasa.

"Mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini berada di hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

"Tiada kecederaan fizikal pada mangsa," katanya di sini pada Selasa.

BACA: Polis mohon bantuan kesan kanak-kanak perempuan hilang

BACA: Henti sebar maklumat tidak tepat - Ibu kanak-kanak perempuan hilang

BACA: Polis tahan 3 individu, klasifikasi sebagai kes culik

Mengulas lanjut, Kumar berkata motif penculikan masih dalam siasatan, selain tiada sebarang wang pampasan dituntut.

Ketika ini, lima individu tempatan telah ditahan, di mana empat daripada mereka telah direman selama empat hari, manakala seorang lagi yang baru ditahan pagi tadi akan direman petang ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Pada Sabtu lalu, mangsa disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter (cm) dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.

Ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju t-shirt putih bergambar 'Mickey Mouse' dan berseluar pendek.