KUCHING: Jejak seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sembilan bulan yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu masih misteri.

Mangsa, Eric Chang Wei Jei dilaporkan hilang oleh keluarganya sekitar jam 7.42 malam (Isnin) di Taman Riverview, Jalan Daya, Bintawa di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan dengan dibantu penduduk setempat serta menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM.

"Mangsa mempunyai bentuk badan kurus dengan ketinggian sekitar 100cm, berkulit kuning langsat serta berambut pendek.

“Pakaian terakhir sebelum dilaporkan hilang adalah menggunakan baju-T berwarna biru gelap dan seluar pendek paras lutut warna hitam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga kini, operasi SAR masih giat dilaksanakan dan belum mendapat sebarang petunjuk keberadaan mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung mangsa boleh menghubungi Inspektor Hasmah Abdul Jalil menerusi talian 013-6852210 atau IPD Kuching (082-244444).