"Jangan sesekali abaikan kepentingan orang lain jika hendak berjaya."

Itu yang dikatakan seorang pemilik gerai makanan 'steamboat', Mohd Syahidi Abdul Salam, 28 tahun yang berjaya mengaut hasil jualan kira-kira RM24,000 setiap minggu.

Menceritakan lebih lanjut, Syahidi atau lebih dikenali dengan gelaran Edy memberitahu pada hari pertama berniaga, dia hanya mampu membuat jualan sebanyak RM7 sahaja.

Namun dia kini boleh bermegah dan memandang tinggi usahanya yang tidak pernah menyerah kalah untuk membangunkan gerai Steamboat D'Kilat.

Dengan kerjasama pasukan seramai 15 orang yang sering saling tolong-menolong, mereka mampu jana pendapatan sebanyak RM4,000 satu hari.

“Jika kita nak berjaya dalam bidang perniagaan ini, kita mesti sentiasa saling tolong-menolong antara satu sama lain.”

“Macam saya, saya sangat mementingkan hubungan baik bersama pekerja saya kerana saya tahu mereka yang akan membantu saya untuk memajukan perniagaan ini.

“Saya juga pasang niat untuk membantu mereka dengan memastikan perniagaan ini maju agar saya dapat memberi pendapatan untuk mereka meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Suasana gerai Steamboat D'Kilat di Temerloh yang berjaya meraih pendapatan sehingga RM4,000 satu hari. -Gambar fail

Bagaimanapun, Edy ditimpa musibah baru-baru ini apabila gerai steambotnya yang terletak di Jalan Tengku Ismail, Temerloh musnah dijilat apii, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Punca rezekinya hilang sekelip mata. Dia rugi RM50,000.


Edy ditimpa musibah baru-baru ini apabila gerai steamboatnya musnah dijilat api baru-baru ini, dipercayai akibat khianat. -Gambar fail


Mengakui inilah ujian terbesar sejak dia memulakan pernigaan enam tahun lalu, kejadian itu tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk bangkit dan membangunkan semula perniagaan steamboatnya itu.

Edy ditimpa musibah baru-baru ini apabila gerai steamboat yang terletak di Jalan Tun Ismail musnah dijilat api. -Gambar fail

Keadaan gerai steamboat Edy selepas hancur dijilat api baru-baru ini. -Gambar fail

Ini semua dilakukan demi kesinambungan masa depan pekerjanya yang kini hilang punca pendapatan.

Edy tetap nekad untuk membantu pekerjanya yang juga beri sokongan untuk dia meneruskan perniagaan .Dan dia tidak menunggu lama, Katanya kepada Astro AWANI, dia sudah menjumpai tapak sementara untuk memulakan semula perniagaan yang diambil alih dari bapa saudaranya itu.

“Saya tidak akan lupakan jasa mereka bantu saya dalam perniagaan yang hampir enam tahun dibangunkan ini. Demi mereka saya sanggup bangun dan teruskan perjuangan.

“Walaupun pada awalnya saya agak kecewa dan ralat, namun dorongan yang diberikan membuatkan saya sanggup untuk terus membantu mereka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Edy juga berharap pada masa akan datang dia berpeluang berkongsi bersama-sama warga Temerloh meluaskan rangkaian perniagaan steambotnya menerusi rangkaian francais yang dirancang dimulakan tidak lama lagi di bawah pengelolaannya.