KUALA LUMPUR: Kajian mengenai gaji minimum perlu dilakukan lebih kerap untuk pastinya ia sesuai dengan peningkatan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kajian tersebut wajar dilakukan sekerap setiap enam bulan sekali.

“Sudah sampai masanya kita tidak boleh bergantung kepada kajian gaji minimum dua tahun sekali sahaja. Kerajaan mungkin perlu lakukan reformasi untuk ubah mekanisme penentuan gaji minimum tersebut. 

“Tidak mungkin kita boleh tunggu dua tahun sekali. Kita lihat kos sara hidup makin lama makin naik, bahkan lebih cepat daripada kenaikan gaji. 

“Kita perlu lihat semula Kerajaan, pekerja dan majikan boleh sepakat untuk wujudkan mekanisme baharu untuk menentukan penentuan gaji minimum ini dibuat sekerap mungkin. Pada pandangan saya, mungkin boleh dibuat sekerap enam bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.


Kajian mengenai gaji minimum perlu dilakukan sekerap enam bulan sekali - MTUC

Menurut Mohd Effendy, 98 peratus pekerja dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang tiada kesatuan sekerja hanya mampu menikmati kenaikan gaji seiring dengan dasar gaji minimum yang diumumkan oleh Kerajaan.

“Majikan mungkin hanya laksanakan kenaikan gaji bergantung kepada dasar gaji minimum yang diperkenalkan. Jadi, apabila kita lihat kepada peratusan kenaikan gaji minimum juga agak mendatar dan margin kenaikan tidak tinggi . 

“Misalnya kenaikan daripada RM900 kepada RM1,000. Tetapi baru-baru ini kita lihat kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500, barulah kita dapat lihat kenaikan yang agak signifikan,” ujarnya.

Tambahnya, meskipun Kerajaan telah mengumumkan Dasar Gaji Progresif, namun ketika ini belum ada gambaran pelaksanaan yang jelas. Maka dengan kemaskini kajian gaji minimum ini akan dapat membantu pekerja yang masih terperangkap dalam gaji yang terlalu rendah untuk menikmati kenaikan gaji sewajarnya.

Pada 1 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata Kerajaan akan menyemak semula kadar gaji minimum pada tahun ini, dan projek rintis gaji progresif pula akan bermula pada Jun.