Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) bersedia berkongsi modul yang diguna pakai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kementerian dan agensi lain dalam usaha mengekang penularan fahaman kumpulan militan Daish.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Modal Insan Kagat, Brigedier Jeneral Nawawi Daud berkata ATM mempunyai caranya sendiri untuk mengelak anggotanya daripada terlibat dengan Daish.

Menurutnya, kementerian dan agensi lain boleh melakar program masing-masing untuk tujuan serupa.

"Kami bersedia membantu sekiranya diperlukan di peringkat kementerian dan agensi (lain) dari segi modul yang diguna pakai di ATM untuk kekang fahaman ini daripada menular dalam kalangan petugas mereka," katanya.

Beliau berucap pada sidang khas sehari 'Ancaman Daish Bertapak di Malaysia' anjuran Majlis Perundingan Melayu dengan kerjasama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad) di sini pada Khamis.

Ia bertujuan memberi pemahaman lebih menyeluruh mengenai keseriusan ancaman Daesh terutama terhadap golongan muda yang dilihat menjadi sasaran untuk direkrut sebagai anggota kumpulan militan berkenaan bagi melakukan serangan berdarah di serata dunia termasuk Malaysia.

Menurut Nawawi, anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terkecuali menjadi sasaran direkrut sebagai anggota Daish kerana sudah dilatih dengan penggunaan senjata.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Dr Nasharuddin Mat Isa mencadangkan kerajaan mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengekang fahaman Daish daripada berkembang di negara ini.

Selain itu, beliau berkata pendekatan lebih kreatif perlu diambil pihak berkuasa dalam memberi kesedaran bahayanya ancaman Daish dalam kalangan generasi muda.