PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan memperluaskan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) seluas 80 hektar lagi di kawasan seliaannya di sini pada musim hadapan bagi membantu lebih ramai pesawah menjana pendapatan lebih lumayan.

Pengerusinya Muhammad Husain berkata ia susulan projek perintis SMART SBB yang dilaksanakan di Kampung Tok Ajam seluas 68 hektar pada musim lepas berjaya memberi pulangan lumayan kepada petani dengan tuaian hingga lapan tan metrik per hektar.

"Sebelum ini rata-rata petani di kawasan ini hanya menghasilkan kira-kira tiga hingga empat tan metrik hasil padi per hektar dan kita mempunyai kira-kira 4,481 hektar kawasan sawa seliaan KADA di Pasir Puteh untuk dimanfaatkan.

"Oleh itu, untuk musim depan kita akan gunakan 80 hektar lagi untuk dibangunkan menerusi projek ini supaya lebih ramai petani memperoleh manfaatnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Program SMART SBB Ala Sekinchan di Stesen Pam Tok Ajam di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata projek tersebut akan bermula pada Jun ini kerana dijangkakan cuaca panas mungkin berakhir pada tempoh tersebut.

"Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah turun padang untuk menentukan pemasangan pam menerusi peruntukan yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM20 juta awal bulan lepas.

"Kita harap semua pam tersebut dapat disediakan serentak dengan permulaan tanaman padi musim pertama 2024 ini bagi memastikan petani dapat melakukan proses tanaman padi dengan lancar," katanya.

Sementara itu seorang petani, Ismail Dollah, 53, yang mengusahakan sawah padi seluas kira-kira 8.09 hekta ekar di kawasan Tok Ajam berkata menerusi program tersebut dia mendapat hasil tuaian sekali ganda.

"Saya berjaya dapat hasil tuaian sekitar lapan tan metrik per hektar berbanding tiga tan metrik sebelum ini. Alhamdulillah program ini sangat membantu petani menjana pendapatan selain membantu keterjaminan makanan negara," katanya.

-- BERNAMA