KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Kedah terus menurun setakat 6 pagi Rabu kepada 5,476 mangsa daripada 1,750 keluarga berbanding lebih 6,000 mangsa pagi semalam.

Kesemua mangsa masih ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka di empat daerah.

Berdasarkan laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 6 pagi Rabu, PPS di empat daerah yang masih aktif adalah di Kota Setar, Pendang, Pokok Sena dan Kubang Pasu.

Daerah Kota Setar merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 3,694 mangsa daripada 1,201 keluarga di 16 PPS.

Daerah Pendang pula mencatatkan seramai 1,565 orang daripada 478 keluarga yang kini berlindung di 10 PPS.

Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan sedikit peningkatan pagi ini kepada 159 orang daripada 30 kelurga berbanding 105 mangsa pagi semalam.

Kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS yang dibuka melibatkan daerah Betong dan Sibu.