PUTRAJAYA: Jumlah mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lalu seramai 235,706 orang di sembilan negeri adalah luar biasa.


Ringkasan AI
  • Jumlah mangsa banjir luar biasa: Sejak 5 November, seramai 235,706 orang di sembilan negeri terjejas akibat banjir Monsun Timur Laut, jumlah tertinggi sejak banjir besar 2014/2015.
  • Trend mangsa banjir menurun: Jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dilihat menurun, dengan keadaan surut di Kelantan dan Terengganu, tetapi meningkat di Pahang dan Johor.
  • Persediaan menghadapi gelombang kedua: Perdana Menteri mengarahkan agensi berkaitan untuk waspada terhadap kemungkinan gelombang kedua banjir berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), dengan Skuad Ihsan Madani bersiap sedia membantu fasa pemulihan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu adalah yang tertinggi selepas banjir besar melanda negara semasa MTL pada 2014/2015.

Katanya, ia merupakan data hasil laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Setakat pagi ini, trend jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dilihat menurun.

“Setakat ini juga surut sedikit di kawasan Kelantan, Terengganu tapi naik di Pahang dan beberapa kawasan di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Rabu.

Dalam masa sama, Anwar turut bimbang terhadap kemungkinan berlakunya gelombang kedua bencana banjir terutamanya di negeri-negeri terjejas ketika ini.

Rentetan itu, beliau telah mengarahkan agensi berkaitan mengambil langkah waspada berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Beliau turut menambah, Skuad Ihsan Madani terdiri daripada sukarelawan penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi akan digembleng bagi membantu fasa pemulihan pasca bencana.

Terdahulu, MetMalaysia menjangkakan luruan monsun yang diramal melanda pada 8 hingga 14 Disember ini yang berpotensi membawa hujan lebat berterusan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di Pantai Timur Semenanjung.