KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di Pahang kekal setakat jam 8 pagi ini melibatkan 23 orang daripada enam keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular di daerah ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu tidak berubah berbanding jam 8 malam tadi.

“Di Pahang, hanya itu sahaja satu-satunya PPS yang masih beroperasi ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) enam sungai merekodkan bacaan air sungai melepasi paras amaran iaitu dua sungai di Maran serta satu di Raub, Pekan dan Rompin.

Dua sungai di Maran ialah Sungai Pahang di Lubuk Paku dan Sungai Luit di Kampung Subuh.

Di Pekan pula Sungai Pahang di Paloh Hinai manakala Sungai Lipis di Batu Malim, Raub.

Selain itu Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin.