KUALA LUMPUR: Seramai 28 individu ditahan kerana disyaki terbabit menjalankan aktiviti perjudian dalam talian menerusi serbuan di tiga unit bilik sebuah hotel di ibu negara semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Nasri Mansor berkata serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula jam 4 petang.

"Serbuan dilakukan ketika kesemua individu itu sedang leka memancing mangsa melalui komputer dan telefon bimbit.

"Polis turut merampas komputer riba, alatan komunikasi dan telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, 10 individu termasuk seorang wanita ditahan manakala tujuh lagi individu termasuk empat wanita ditahan dalam serbuan kedua.

Dalam serbuan terakhir seramai 11 individu termasuk dua wanita ditahan.

Siasatan lanjut mendapati empat daripada kesemua suspek yang ditahan merupakan warga China.

Polis percaya, sindiket ini beroperasi sejak dua minggu lalu dan anggaran sewa bulanan bilik hotel berkenaan sekitar RM10,000.

Beliau berkata setiap suspek dipercayai memperolehi gaji sekitar RM2,000 sebulan.

Siasatan kini menjurus kepada kesalahan penipuan 'money game' selain kesalahan jenayah perjudian.

Kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 45 tahun dan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.