Apa tidaknya sepanjang sebulan jualan durian kunyit dan musang king, pemilik kebun itu berjaya mengumpul pendapatan lumayan sepanjang tahun.
Bagi Ibrahim Che Musa yang memiliki kebun durian seluas 6.47 hektar, jualan durian kunyit dan musang king kali ini menggalakkan walaupun harga borong yang diberikan RM35 sehingga RM40 bagi sekilogram.
“Hasil pun meningkat sedikit. Dua kebun itu lebih kurang RM100,000 sehingga RM200,000.
“Tahun lepas masuk Singapura, tidak cukup, pesanan tidak putus-putus,” katanya.
Menurut Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Pak Him, dia tidak perlu membuat iklan untuk menjual duriannya kerana pelanggan sudah siap melakukan tempahan sejak awal tahun.
Jelasnya, pasaran durian kunyit dan musang king kali ini tidak dieksport keluar sebaliknya untuk pasaran tempatan, bahkan permintaan pasaran tempatan juga tidak mencukupi.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya Kelantan (MOTAC), Mohd Aidil Afizie Daud memaklumkan, pasaran durian kunyit dari pedalaman Kelantan seperti di Dabong dan Bertam mampu dijadikan produk agro tourism.
“Kali ini kita datang untuk melihat potensi untuk kita promosikan agrotourism, makan durian di kampung atau di kebun sekitar Jelawang.
"Salah satu program yang kita akan tonjolkan ialah 'visit' kampung. Kami jangka ia akan menarik lebih ramai pelancong domestik. Kepada yang gemarkan durian, sila datang ke Kelantan, dan ke Dabong,” katanya.
Tambahnya, sejajar dengan saranan kerajaan menggalakkan pelancongan domestik, sumber dan produk pelancongan seumpama itu perlu diketengahkan untuk pengetahuan rakyat.