SHAH ALAM: Menggunakan nama yang berbeza sekiranya disekat antara taktik yang biasa digunakan oleh penyedia laman-laman sesawang lucah.
Selain itu, penyedia laman web lucah yang berpangkalan di luar negara turut dikesan menggunakan alamat Protokol Internet (IP) yang berbeza bagi mengelakkan operasi atau kegiatan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.
Bukan itu sahaja, malahan terdapat juga kandungan lucah di aplikasi dan media sosial yang mengenakan jumlah bayaran tertentu jika seseorang itu mahu mendapatkannya.
Bagi tahun 2020 hingga Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat 4,240 laman lucah di internet.
Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas individu yang menyalahgunakan internet untuk memuat naik kandungan lucah akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurutnya, tindakan sekatan akses telah dilaksanakan melibatkan 4,240 laman sesawang lucah sejak tahun 2020.
“Berdasarkan tindakan dan siasatan yang dijalankan mendapati penyedia laman sesawang lucah ini dikesan dari luar negara.
“SKMM mengambil langkah menyekat akses awam kepada laman-laman yang memaparkan kandungan lucah,” katanya kepada Sinar Harian dalam temu bual khas di Ibu Pejabat SKMM baru-baru ini.
Menurut Zulkarnain, menyimpan kandungan lucah dalam telefon bimbit juga merupakan kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Zulkarnain berkata, ramai yang tidak sedar berkaitan kesalahan iaitu menyimpan kandungan lucah dalam telefon bimbit kerana menganggap ia satu privasi sedangkan ia adalah satu kesalahan.
“Sekiranya pemeriksaan dijalankan, walaupun hanya sekeping gambar, ia masih tetap menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya.
Jelas Zulkarnain, pihaknya turut menerima pelbagai aduan yang mana kandungan video atau gambar lucah ini disebar menerusi pesanan ringkas seperti WhatsApp.
“Seolah-olah menjadi satu trend yang mana mungkin penyebar berniat untuk bergurau, disebarkan kandungan tersebut menerusi kumpulan di media sosial dan sebagainya.
“Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan sekiranya aduan dilakukan oleh ahli dalam kumpulan tersebut maka tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pelaku berkenaan,” ujarnya.
Jual video lucah
Dedah beliau, SKMM mengesan terdapat kandungan lucah yang dijual di platform media sosial bagi mendapat keuntungan.
“Individu tidak bertanggungjawab ini dikesan membuat kumpulan (group) tertentu di platform media sosial sebelum mengenakan bayaran bagi sesiapa yang mahu menyertai kumpulan tersebut.
“Group itu diletakkan dalam mod privasi yang mana mengkehendaki mereka yang berbayar sahaja boleh menyertai kumpulan itu untuk melayari kandungan lucah yang dimuat naik,” jelasnya.
Kata beliau, SKMM sentiasa bekerjasama dengan penyedia platform media sosial berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Perlu diingatkan bahawa sebarang aktiviti penyebaran kandungan berbentuk lucah baik dalam secara dalam talian mahupun di luar talian adalah tertakluk di bawah undang-undang negara dan ia adalah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman,” katanya.
Jelas beliau, tindakan boleh diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat berkaitan kesalahan ini mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Mana-mana individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali sekali jika sabit kesalahan.
“Selain itu, undang-undang relevan lain juga akan terpakai mengikut fakta kes disiasat, dan juga tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan yang mana ia di bawah bidang kuasa PDRM,” tambahnya.
Zulkarnain memberitahu, terdapat kes di mana ada individu menyimpan koleksi peribadi dalam peranti dan kemudiannya peranti yang digunakan itu hilang.
“Peranti tersebut kemudiannya ditemui oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sebelum digodam dan kemudian video atau gambar yang berunsur lucah itu disebar luas.
“Ramai yang tidak sedar akan impak di kemudian hari, sekiranya gambar atau video berkenaan tersebar, pastinya akan memberikan kesan kepada individu itu sendiri,” katanya.
Kata beliau, SKMM pada masa sama turut mengesan video berunsur jelik yang mempunyai kaitan dengan produk-produk melibatkan kecantikan yang mempunyai unsur lucah di media sosial.
“Ada promosi-promosi berkaitan produk kecantikan, kesihatan dalaman misalnya, yang mempunyai unsur jelik dan tidak sesuai untuk semua peringkat umur.
“Berkaitan perkara ini, SKMM akan bekerjasama dengan pihak seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) misalnya bagi memastikan produk terbabit berdaftar atau tidak dan kemudian disusuli dengan kaedah atau teknik promosi yang berunsur jelik yang digunakan,” ujarnya.
Zulkarnain berkata, dalam aspek penguatkuasaan, tindakan SKMM memfokuskan kepada kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, ada juga kandungan lucah yang berkaitan dengan aktiviti persundalan.
“Bagi sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang lain contohnya aktiviti mencari langganan bagi maksud persundalan boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
“Aduan berkaitan perkara tersebut akan dimajukan kepada pihak PDRM untuk penelitian dan tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang berkenaan,” kata Zulkarnain.
Menurut beliau lagi, kerjasama dan koordinasi telah sedia terjalin antara SKMM dengan pihak penyedia platform media sosial seperti Facebook dan Instagram dalam konteks sekiranya terdapat kandungan lucah yang dikesan menerusi platform-platform terlibat.
“Kandungan berunsur lucah sememangnya menjadi kesalahan berdasarkan piawaian komuniti di platform tersebut.
“Mana-mana kandungan lucah yang dilaporkan akan dipadamkan menurut piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka,” katanya.
Selain itu, kerjasama turut melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM bagi melibatkan kandungan lucah berunsur jenayah.
“Ia merangkumi siasatan melibatkan kes kandungan lucah melibatkan isu pedofilia dan pornografi kanak-kanak yang mana akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“SKMM turut sama menjalinkan kerjasama dengan pihak Polis Antarabangsa (Interpol) sekiranya melibatkan kandungan-kandungan lucah yang dikesan di luar negara yang mana turut melibatkan melibatkan isu pedofilia dan pornografi kanak-kanak,” katanya.
Kata Zulkarnain, kerap melayari kandungan lucah, sekali gus akan mengakibatkan ketagihan kepada pelayar.
“Melayari kandungan lucah sama ada menerusi laman sesawang atau menerusi telefon bukan sahaja merosakkan dan melemahkan akal fikiran waras, malah mengakibatkan seseorang itu mengalami ketagihan selain memberikan kesan terhadap perkembangan seksual individu.
“Paling dibimbangi ia mengakibatkan kesan buruk bukan sahaja melibatkan pelaku terbabit malah kesan terhadap keluarga dan masyarakat itu sendiri yang dikhuatiri menjadi pendorong kepada gejala-gejala tidak sihat seperti seks bebas dan sebagainya,” ujarnya.
Pelbagai medium tangani kandungan lucah
Tambah Zulkarnain, langkah yang diambil pihaknya dalam membendung penyebaran kandungan lucah ini tidak bersifat penguatkuasaan semata-mata.
“Antara yang dijalankan adalah melibatkan program berbentuk advokasi yang memberikan pelbagai info dan maklumat berkaitan kesan melayari kandungan lucah, termasuk melibatkan kesan dari sudut mental dan fizikal.
“Sekali gus ia mendidik masyarakat berhubung aspek etika dan seterusnya bagi mengelakkan penyalahgunaan media sosial yang mendorong kepada melayari kandungan lucah,” katanya.
Jelas beliau, fokus turut diberikan dari sudut pengguna internet sendiri agar lebih bertanggungjawab dan sama-sama memupuk budaya penggunaan media sosial secara bijaksana.
“Kesedaran berkaitan bahana kandungan lucah ini sebenarnya bermula dari rumah yang mana aspek penekanan perlu dimainkan oleh ibu bapa sendiri, di samping itu, SKMM turut menekankan inisiatif aplikasi saringan kendiri kandungan oleh ibu bapa yang dikenali sebagai Parental Control Tools.
“Inisiatif ini sekali gus memudahkan ibu bapa memantau dan menyaring kandungan yang diakses oleh keluarga serta anak-anak, bagi mengelakkan penularan kandungan yang tidak diingini sekaligus memastikan penggunaan internet secara lebih positif dan selamat,” katanya.
Ujar Zulkarnain, program advokasi seperti Kempen Klik Dengan Bijak (KDB) telah diperkenalkan pada tahun 2012 dan sehingga kini SKMM giat mendidik rakyat Malaysia supaya menjadi pengguna media sosial yang berhemah.
“Penekanan tiga teras utama melibatkan keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab, sekali gus menitik beratkan kawal selia kendiri.
“Tanggungjawab bukan hanya terletak pada bahu pihak penguatkuasa semata-mata tetapi juga pada pengguna itu sendiri yang mana amalan kawalan kendiri penting bagi melindungi seseorang itu daripada paparan kandungan negatif seperti kandungan lucah ini,” katanya.
ANTARA KES
15 MEI 2022
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima puluhan ribu alamat protokol internet (IP) yang disyaki berkongsi kandungan lucah kanak-kanak di internet daripada pihak berkuasa antarabangsa sejak enam tahun lepas.
Bagaimanapun akibat kekurangan tenaga kerja, jumlah tangkapan dan pemeriksaan yang dilakukan jauh lebih kecil daripada itu.
PDRM menerima 93,368 alamat IP yang disyaki terlibat melakukan kegiatan itu daripada sistem perkongsian maklumat yang dianggotai antaranya Polis Antarabangsa (Interpol), Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dan National Center For Missing and Exploited Children.
1 MAC 2023
Sebanyak 58 peratus atau 1,631 daripada 2,825 aduan yang diterima serta disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung kesalahan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dalam tempoh 2009 hingga 1 Mac, adalah atas kesalahan menyebar kandungan berunsur lucah.
Selain itu aduan menyebar kandungan jelik merekodkan sebanyak 546 kes, diikuti kandungan sumbang (tujuh), kandungan palsu (574) dan baki 74 aduan adalah melibatkan kandungan mengancam dan kandungan sumbang.
Daripada aduan diterima berkenaan, sebanyak 108 kes masih dalam siasatan, 115 kes telah didakwa di mahkamah, 40 kes dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM138,250 dan 84 kes telah dikeluarkan notis amaran.
23 MAC 2023
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah menerima sebanyak 1,282 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah di Twitter.
Kesemua tersebut telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). - Sinar Harian
Sinar Harian
Sat Apr 15 2023
Menurut Zulkarnain, menyimpan kandungan lucah dalam telefon bimbit juga merupakan kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan. - Foto Sinar Harian
Kanak-kanak sembilan tahun antara enam tercedera dirempuh teksi
Menurut jurucakap Jabatan Polis New York (NYPD), dua orang termasuk kanak-kanak lelaki itu dibawa ke Weill Cornell Medical Center, seorang lagi dibawa ke Bellevue Hospital manakala 3 mangsa yang lain menolak rawatan perubatan.
Peguam pertahankan perintah darurat Yoon Suk Yeol
Dalam satu sidang media pada Khamis, Yoo Seung Soo dan Rhee Ha Sang menyatakan langkah tersebut wajar dilaksanakan untuk memberi amaran mengenai penyalahgunaan proses demokrasi oleh parti pembangkang.
Bekas Datuk Bandar Taipei didakwa tuduhan rasuah dan salah guna kuasa
Ko Wen-Je yang menjadi datuk bandar dari 2014 hingga 2022 dibawa ke Pejabat Pendakwa Raya daerah Taipei, Taiwan bersama suspek lain dan diiringi sekumpulan pegawai polis ke dalam bangunan.
Pembangkang kemuka usul pecat Han Duck Soo, undi ditetapkan Jumaat
Usul itu dikemukakan oleh parti pembangkang utama, Parti Demokratik (DP) sejurus selepas Han menyatakan bahawa beliau tidak akan melantik tiga hakim untuk mengisi jawatan di Mahkamah Perlembagaan yang sedang meneliti kes pemecatan Presiden Yoon Suk Yeol.
Tiada rakyat dipinggirkan, kesejahteraan rakyat jadi tunjang - PM
Kerajaan MADANI akan terus bekerja untuk membina masa depan Malaysia yang lebih terangkum dan gemilang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kastam rampas rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.6 juta
Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.6 juta dalam tiga serbuan berasingan di Johor dan Selangor.
Lebih 50,000 pelarian Syria pulang dari negara jiran dalam tempoh 3 minggu - PBB
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian berkata, bilangan pelarian Syria yang kembali ke kediaman mereka meningkat perlahan-lahan.
Sita, lucut hak kenderaan perdagangan gagal patuhi peraturan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyita dan lucut hak kenderaan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya menerusi operasi khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.
Kimchi, Yogurt buatan Malaysia jadi sumber pendapatan ibu tunggal
Naib Presiden Kanan Bahagian sokongan Industri Bioeconomy Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation), Nora Mohamed berkata, setakat ini, seramai 35 ibu tunggal telah diberi tunjuk ajar menghasilkan dua produk makanan itu.
Bapa dakwa bayi jatuh akibat kecuaian hospital
Seorang bapa mendakwa kakitangan sebuah hospital di Kuala Terengganu cuai sehingga mengakibatkan bayi sulungnya yang baru berusia dua hari jatuh dari atas katil bayi.
Mohd Syarifuddin Manan mendakwa, susulan kejadian itu, anaknya sering diserang sawan.
Mohd Syarifuddin Manan mendakwa, susulan kejadian itu, anaknya sering diserang sawan.
[KOLUMNIS] Akses kepada maklumat: Keperluan kritikal melengkapkan ekosistem kebajikan warga ATM
Akses Internet yang lebih baik akan membuka lebih banyak ruang untuk perkembangan diri dan peningkatan motivasi anggota tentera.
CelcomDigi timbang beberapa pilihan selepas tidak terpilih untuk Rangkaian 5G Kedua
Mereka percaya telah mempersembahkan cadangan teknikal dan komersial yang terbaik untuk pembangunan rangkaian 5G kedua.
Larangan terhadap kandungan pautan, maklumat peribadi, nombor telefon melalui SMS dikuatkuasakan - SKMM
Kandungan yang terlarang meliputi pautan, permintaan maklumat peribadi dan juga nombor telefon untuk dihubungi.
Jakim lapor MCMC hantaran TikTok papar bacaan Qunut Nazilah doakan musibah ke atas PM
Jakim akan membuat laporan kepada MCMC berhubung hantaran di TikTok yang menyertakan bacaan Qunut Nazilah sambil mengajak orang ramai mendoakan musibah ke atas Perdana Menteri.
Undang-undang terperinci diperlukan bendung buli siber - KPN
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan undang-undang yang lebih terperinci untuk membendung masalah buli siber secara berkesan.
Kerugian akibat scam berjumlah RM203.33 juta setakat Mei 2024 - PM Anwar
Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima sebanyak 37,002 panggilan mangsa scam (penipuan) dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM203.33 juta setakat Mei 2024.
CMCF sahut saranan tangani penyalahgunaan AI dengan pengawalseliaan
Ia selari dengan misi CMCF untuk menyokong pengawalseliaan kendiri kandungan dalam ruang digital Malaysia seperti yang digariskan dalam Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia 2022.
Pengawal selia tempa haluan untuk inovasi yang mampan dan selamat pada IRC 2024
Menghimpun pengawal selia serantau dan pemimpin industri dalam membincangkan usaha mengimbangi dasar dan amalan bagi mendepani cabaran dalam industri komunikasi dan multimedia.
SKMM sita telefon bimbit milik Chegubard, Salim Iskandar dan Papagomo
Setelah selesai siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut.
SKMM rakam percakapan Che'gubard, Salim, Papagomo esok
SKMM mengesahkan memanggil pempengaruh media sosial Chegubard, Salim Iskandar dan Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) untuk rakaman percakapan pada Rabu.