KUALA LUMPUR : Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dicadang terlibat dalam memberi ulasan mengenai pembangunan pembukaan tanah untuk pertanian dan pembalakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) JPS, Ir. Bibi Zarina Che Omar berkata, ulasan itu kemudian diharap dijadikan satu bentuk perundangan bagi mengawal pencemaran sungai dan kejadian banjir.

"Saya rasa yang amat penting pembangunan tanah untuk pertanian, pembalakan, iaitu tanah yang dibuka itu JPS perlu terlibat dalam memberi ulasan.

"Saya rasa perkara ini perlu masukkan dalam ulasan (JPS) dan dijadikan satu perundangan di mana melibatkan pembangunan-pembangunan yang besar dan pembukaan tanah yang berskala besar ini, sebab kita boleh nampak impaknya. Namun itu tidak termasuk (dalam ulasan JPS). 

"Jadi, harapan kami adalah supaya semua pembangunan negara dalam negara dirujuk untuk mendapat ulasan supaya kita boleh guna garis panduan yang ada. Kalau boleh jadi perundangan mungkin lebih kuat dari segi kawalannya," katanya semasa Forum Bencana Banjir – Perspektif Pengurusan Sungai, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim di Malaysia Anjuran UKM Secara Atas Talian pada Khamis.



Dalam pada itu, Bibi Zarina mencadangkan agar pihak berwajib meningkatkan penguatkuasaan terhadap pihak industri bagi memastikan pematuhan terhadap ulasan diberikan JPS.

Ia berikutan hasil pemerhatian JPS mendapati, ada pihak industri yang menyediakan fasiliti dicadangkan jabatan itu hanya untuk kelulusan semata-mata.

Lebih malang, sikap tidak melakukan penyelenggaraan fasiliti memberi impak yang besar apabila banjir berlaku.

"Memang ulasan kami mereka ambil kira, namun tiada penyelenggaraan. Apabila banjir berlaku, ia tiada penyelenggaraan jadi berlaku impaknya. Jadi mereka sekadar buat fasiliti, dan sekadar untuk kelulusan benda ada di tapak, tetapi penyelenggaraan tidak ada," tambahnya.