KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran satu program taklimat dan penerangan kewarganegaraan seperti yang tular di media sosial sebelum ini.


Ringkasan AI
  • Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan mereka tidak terlibat dalam program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang tular di media sosial.
  • JPN menyatakan permohonan kewarganegaraan hanya boleh dibuat di kaunter Pejabat JPN dengan kehadiran pemohon sendiri.
  • JPN menekankan bahawa penganugerahan kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia dan prosesnya tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkuat kuasa.


JPN dalam kenyataan hari ini menegaskan program itu bukan anjuran bersama jabatan itu, malah tiada jemputan penyertaan ke program terbabit diterima JPN.

Jabatan itu turut menjelaskan sebarang permohonan berkaitan kewarganegaraan hanya boleh dibuat di kaunter Pejabat JPN dengan kehadiran pemohon itu sendiri.

"JPN ingin menegaskan penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

"Proses yang dilaksanakan oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung poster penganjuran "Program Taklimat dan Penerangan Kewarganegaraan" yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun di Plaza Sentosa, Johor Bharu.

Berdasarkan kandungan hebahan itu, ia dianjurkan oleh seorang ahli politik dari Johor.

-- BERNAMA