Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Badrul Hisham Alias berkata pihaknya telah memulakan MEKAR Diaspora dengan menyantuni rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi, khususnya di Riyadh dan kawasan sekitar bagi membantu mereka mendapatkan dokumen pengenalan diri.
"Melalui saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, JPN telah melaksanakan Program MEKAR Diaspora luar negara selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI bagi memastikan seluruh rakyat mendapat dokumen pengenalan diri.
"Atas inisiatif itu JPN telah mengadakan program MEKAR Arab Saudi dan kita telah memproses 240 permohonan daripada rakyat Malaysia yang tinggal di sana," katanya ketika ditemui Bernama di Program Kembara Merdeka MEKAR Ihsan di Gugusan Kepulauan - Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Teluk Renjuna, pada Jumaat.
Pada program itu Badrul Hisham bersama Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Sarinah Apisah, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Faizah Jaarudin dan Pengarah JPN Kelantan Asrehan Ab Razak serta warga JPN melalui jalan sukar dengan menaiki bot, kemudian mengayuh basikal dan menunggang motosikal untuk penyerahan kad gantian dokumen pengenalan diri.
Dua penerima berkenaan ialah orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy Tengku Norfazliana Tengku Razlan, 21, dan bekas pengamal media terlantar akibat strok sejak lapan tahun lepas, Zainal Ahbiddin Rahman, 67.
Mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) setiap kanak-kanak yang telah mencapai umur 12 tahun dan bertaraf Warganegara wajib mendaftar untuk mendapatkan kad pengenalan mereka.
"Bagi Program MEKAR Diaspora yang dijalankan, ini adalah sebagai inisiatif kerajaan bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara dan kesukaran untuk mereka pulang membuat permohonan dokumen pengenalan diri dikeluarkan JPN.
"Usaha ini juga memudahkan urusan mereka memperbaharui Pasport Masuk Antarabangsa (PMA) di Pejabat Pasport Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di luar negara dan juga urusan-urusan lain yang mengkehendaki dokumen pengenalan diri dikeluarkan JPN," katanya.
Badrul Hisham berkata pada tahun ini, JPN berhasrat terus membantu melangkaui jangkaan di bawah Program MEKAR Diaspora di luar negara termasuk Amerika Syarikat yang dijangka berlangsung pada September depan.
Beliau berkata pihaknya menjangka lebih banyak permohonan akan diterima daripada Diaspora Malaysia yang berada di New York dan Washington DC.
"JPN akan terus-menerus membantu masyarakat Malaysia yang berada di luar negara dan pada tahun berikutnya akan meneruskan MEKAR antarabangsa di New Zealand, Australia dan beberapa negara lain," katanya.
-- BERNAMA