Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung kualiti serta piawai tayar kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata pihaknya mendapati banyak kenderaan berat seperti lori dan bas menggunakan tayar yang tidak mengikut piawai SIRIM.

"Supaya syarat pengeluaran tayar lebih ketat, selalunya kita dapat pengesahan SIRIM, tetapi kali ini kita akan bincang perkara ini dan PLUS juga membangkitkan perkara ini kepada kita.

"Kita akan bincang dengan KPDNKK termasuk pengurusan lori supaya kita boleh ambil tindakan supaya tayar-tayar lori ini berkualiti," katanya selepas melakukan tinjauan udara bersama Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abdul Hamid.

Mengulas Op Hari Raya 2016, beliau berkata 20,463 kenderaan diperiksa JPJ sejak Rabu lalu hingga hari ini.

Daripada jumlah itu, 5,636 kenderaan diambil tindakan dengan 8,247 kompaun dan saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan paling banyak dilakukan pengguna jalan raya sepanjang operasi yang memasuki hari keempat itu adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan.

"Kita telah dapat menangkap pemandu bas yang didapati positif dadah. Kita amat khuatir kerana semua syarikat bas telah diingatkan (tentang perkara ini).

"Di setiap terminal, kita buat pemeriksaan (ujian air kencing) secara rawak kerana bukan kita dapat buat semua," katanya.

Nadzri berkata, bagi kesalahan yang dikesan menggunakan lorong kecemasan, dua pendekatan penguatkuasaan digunakan iaitu anggota rondaan penguatkuasaan JPJ akan menahan dan keluarkan sama kepada pemandu yang guna lorong kecemasan.

Pendekatan kedua melalui aduan bergambar yang dihantar orang awam melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan menggunakan lorong kecemasan.

Saman yang dikeluarkan akan terus dibawa ke mahkamah dan tidak ditawarkan kompaun.

Sejumlah 302 kenderaan ronda JPJ digunakan sepanjang op yang dijalankan di semua lebuh raya dan jalan raya persekutuan membabitkan 1,000 anggota.