PONTIAN: Kerajaan Johor menyediakan peruntukan RM10 juta bagi kerja naik taraf enam taman negara di negeri itu sebagai persediaan menerima kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata kerja naik taraf itu membabitkan kemudahan dan infrastruktur di lokasi pelancongan berkenaan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.

Beliau berkata usaha naik taraf yang termasuk dalam Bajet Johor 2024 itu bukan sahaja untuk melestarikan kawasan tarikan di negeri berkenaan malah menggalakkan aktiviti berbentuk kesihatan dan mencintai alam sekitar.

"Kerja-kerja naik taraf di enam taman negara ini telah bermula tahun ini (2024) dan ia perlu siap sebelum tahun 2026 yang merupakan Tahun Melawat Johor.

"Di Taman Negara Pulau Kukup yang kita lawat hari ini, walaupun kerja naik taraf (jeti) dalam proses, ia akan mula dibuka pada 17 Mei depan dengan sasaran pengunjung seramai 100 orang setiap hari," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja sempena pembukaan semula Taman Negara Pulau Kukup di sini hari ini.

Beliau berkata pelancong yang melawat Taman Negara Pulau Kukup yang merupakan satu daripada Tapak Ramsar di Malaysia, mereka berpeluang melihat sebuah pokok bakau jenis hibrid yang berusia lebih 100 tahun iaitu Rhizophora x Lamarckii.

Pokok berkenaan satu-satunya yang terdapat di pulau itu dan kerajaan negeri melalui Perbadanan Taman Negara Johor akan memastikan pokok itu dipelihara dengan baik memandangkan ia menjadi daya tarikan utama ke Pulau Kukup.

"Kita juga telah bekerja sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memastikan pokok Rhizophora x Lamarckii yang amat jarang dijumpai di dunia itu terpelihara daripada ancaman yang boleh mengakibatkan pokok berkenaan rosak atau mati.

"Pasukan ini (penyelidik UKM) juga berperanan sebagai penasihat kepada Taman Negara untuk penjagaan pulau dan spesies tumbuhan yang ada terutamanya pokok bakau," katanya.

-- BERNAMA