ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor memohon Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan pemberian 20 peratus hasil cukai yang dikutip di negeri berkenaan, disalurkan kembali kepada Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihaknya merayu pertimbangan perkara itu, kerana ia penting untuk limpahan manfaat dan pembangunan rakyat Johor.

"Pada masa sama, ia selari dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail. Kerajaan Johor sekali lagi memohon dan merayu kepada Kerajaan Persekutuan agar mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di negeri ini, untuk disalurkan kembali kepada Johor.

"Permohonan ini amat penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan manfaat hasil negeri dan memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif," katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bertanya mengenai jumlah sebenar permohonan cukai yang diminta, adakah 20 peratus atau 30 peratus?

"Mohon 20 peratus dahulu, kalau dapat 10 peratus pun tidak mengapa. Contoh Seri Medan meminta peruntukan RM10 juta (pembangunan) di Johor terdapat 56 DUN, bayangkan sudah hampir setengah bilion. Banyak perkara yang kita nak buat (pembangunan) di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam penggulungan itu, Onn Hafiz turut mengumumkan inisiatif tambahan Belanjawan Johor 2025 sebanyak RM26 juta.

Antaranya RM300,000 diperuntukkan bagi Dewan Muda Johor, sebuah platform Orang Muda Johor yang menyalurkan kritikan, saranan serta ikhtiar semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, RM200,000 diperuntukkan bagi Persatuan Pesara Polis dan RM200,000 diperuntukkan bagi Persatuan Pesara Tentera.

"Turut diberi peruntukan tambahan RM800,000 bagi 15 Kem Tentera di seluruh Johor. RM750,000 diperuntukkan bagi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan 13 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri Johor.

"Tidak ketinggalan peruntukan RM150,000 kepada Kelab Media Johor sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media," katanya.

Sementara itu, persidangan DUN Johor meluluskan Belanjawan negeri 2025 berjumlah RM1.999 bilion.

Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata belanjawan bertemakan Maju Johor, Rakyat Sejahtera itu diluluskan sebulat suara, selepas dibahaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak Ahad lepas.

Pada 21 Nov, Onn Hafiz membentangkan Belanjawan Johor 2025 yang merupakan belanjawan lebihan sebanyak RM5.12 juta.

Belanjawan itu merupakan belanjawan lebihan yang ketiga berturut-turut dibentangkan oleh beliau.

-- BERNAMA