Profesor Adjung Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (UM), Dr Johan Saravanamuttu berkata, idea ini yang menjadi teras kepada kempen "Make America Great Again" Trump, menunjukkan bahawa Amerika telah kehilangan penguasaan globalnya dan perlu merebut kembali kedudukan itu.
"Persaingan daripada China adalah faktor utama yang mempengaruhi pendekatan Trump. Pentadbiran penggal pertama beliau terarah kepada usaha untuk mengehadkan kebangkitan China, terutamanya dalam perdagangan dan teknologi.
"Penggal kedua beliau nampaknya meneruskan trajektori ini, dengan polisi yang bertujuan untuk menentang pengaruh ekonomi dan geopolitik China yang semakin berkembang," kata Johan dalam Forum BN yang membincangkan 'Impak Polisi Trump' di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi.
Forum yang dikendalikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir turut menjemput tiga ahli panel lain iaitu Felo Kanan untuk Program Asia di Carnegie Endowment for International Peace, Dr Elina Noor; Felo Kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan dan Profesor Madya UM, Dr Khoo Yinh Hooi.
![Forum BN membincangkan 'Impak Polisi Trump' di WTC, Kuala Lumpur, malam tadi. - Facebook Zambry](https://img.astroawani.com/2025-02/61739397229_freesize.jpg)
Johan, yang juga Profesor Emeritus di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, walaupun kekuatan tentera AS masih tiada tandingan, kemampuannya untuk membentuk agenda global, terutamanya di rantau Indo-Pasifik telah berkurang.
Kebangkitan watak serantau termasuk ASEAN, telah merumitkan perkiraan strategik AS, seperti yang ditegaskan Malaysia dan negara-negara lain di rantau ini, menjadikan ia lebih sukar bagi AS untuk menggunakan pengaruh seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Sementara itu, Khoo membandingkan gaya kepimpinan Trump dengan liputan 'Wi-Fi yang lemah' menekankan ketidakstabilan, ketidakpastan dan kecenderungan menimbulkan gangguan dalam hal ehwal global.
Menurut beliau strategi Trump berasaskan pemikiran berorientasikan perniagaan, walaupun berkesan dalam dunia korporat, telah mengganggu politik antarabangsa.
"Seperti sambungan Internet yang tidak stabil, polisi beliau (Trump) tidak konsisten, kadangkala memberi manfaat kepada satu negara dan pada masa sama menyebabkan ketegangan dengan negara lain. Selain itu, campur tangan beliau dalam urusan global, seperti isyarat Wi-Fi yang lemah mengganggu aktiviti harian, telah menimbulkan kebimbangan ekonomi dan keselamatan di seluruh dunia," katanya.
Pentadbiran Trump baru-baru ini menyebabkan ketegangan di peringkat global berikutan beberapa pengumuman polisi yang agresif, termasuk rancangan untuk memindahkan kira-kira dua juta rakyat Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan awal bulan ini.
Malaysia, penyokong kuat Palestin sejak sekian lama, telah menentang keras pemindahan paksa ini dengan mendakwa ia adalah pembersihan etnik dan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi PBB.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)