ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan membangunkan pusat pengumpulan durian di Tangkak susulan jangkaan lambakan raja buah itu dalam masa tiga atau empat tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata berdasarkan tinjauan Jabatan Pertanian Johor, lambakan itu dijangka berlaku berikutan penanaman durian berskala besar yang dilakukan pekebun sejak beberapa tahun lepas.

Beliau berkata harga durian termasuk Musang King juga akan jatuh sekiranya lambakan itu berlaku.

"Berdasarkan tinjauan Jabatan Pertanian Johor, kita merasakan susulan penanaman durian berskala besar ini akan menyebabkan berlaku lambakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

"Justeru itu, apabila penanaman berskala besar ini mula mengeluarkan hasil kerajaan negeri dapat menyimpannya di pusat pengumpulan tersebut," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi pusat pengumpulan itu, hasil durian yang akan melalui proses sejuk beku dapat dipasarkan di luar musim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap itu, berkata usaha membangunkan pusat pengumpulan tersebut akan dilakukan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Jika tidak diambil tindakan awal, saya bimbang harga durian akan jatuh melainkan durian dapat dipasarkan terus ke luar negara seperti China.

"Bagaimanapun, ketika pandemik COVID-19 sebelum ini durian tidak dapat dieksport ke China. Jadi, kita tidak mahu lambakan durian berlaku dan cadangan pusat pengumpulan ini cukup penting agar isi durian dapat disejukbekukan dipasarkan sepanjang tahun," katanya.

Untuk rekod, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan pengeluaran durian sebanyak 141,862 tan metrik pada 2027 dengan Tangkak merupakan daerah pengeluar tertinggi.

-- BERNAMA