SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengesan lapan kes disyaki leptospirosis atau kencing tikus di pusat rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah seperti tular di media sosial.

Pengarahnya Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata daripada jumlah itu, satu kes dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut manakala tujuh lagi diberikan rawatan pesakit luar.

"Pada 19 Nov lepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban menerima tiga notifikasi kes disyaki leptospirosis daripada Klinik Kesihatan Sendayan melibatkan sebuah keluarga dari Seremban dengan gejala demam, muntah dan cirit-birit yang mempunyai sejarah mengunjungi pusat rekreasi di Ulu Bendul pada 10 Nov.

"Kemudian PKD Seremban turut menerima pertambahan lima lagi notifikasi kes gejala sama dengan sejarah perjalanan ke pusat rekreasi tersebut antara 10 hingga 16 Nov," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK), Sungai Buloh untuk ujian pengesahan leptospirosis selain penilaian risiko turut dijalankan ke atas pusat rekreasi tersebut.

Dr Harlina berkata tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya telah diambil oleh agensi berkaitan.

Susulan itu, beliau berkata pusat rekreasi berkenaan ditutup sementara waktu oleh pihak berkuasa tempatan bermula 29 Nov hingga 15 Dis ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan dijalankan.

"Jabatan ini akan terus memantau perkembangan terkini kejadian wabak disyaki leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi yang berkaitan," katanya.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan semasa mengunjungi pusat rekreasi dan jika bergejala setelah mengunjungi tempat tersebut, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran, katanya.

-- BERNAMA