PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat ini sudah menemu bual dua ahli keluarga terdekat Zayn Rayyan Abdul Matiin berhubung isu penjagaan adiknya, Zahin Mateen, yang masih dalam jagaan sementara jabatan itu.


Ringkasan AI
  • Penjagaan Adik Zahin Mateen: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menemui dua ahli keluarga terdekat Zayn Rayyan Abdul Matiin berhubung isu penjagaan adiknya, Zahin Mateen, yang masih dalam jagaan sementara JKM. Ibu bapa Allahyarham mempunyai akses bersyarat untuk bertemu dengan Zahin Mateen, dan mereka berpeluang bertemu pada Hari Raya Aidiladha.
  • Keadaan Adik Zahin Mateen: Kanak-kanak berusia lima tahun itu kini berada dalam keadaan baik, namun merindui kedua ibu bapanya. Mahkamah Majistret Shah Alam telah membenarkan permohonan JKM untuk mendapatkan perintah jagaan sementara adik kepada Allahyarham.
  • Pertuduhan Terhadap Ibu Bapa Zayn Rayyan: Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.


Peguam yang mewakili ibu bapa kanak-kanak itu, Fahmi Abd Moin menjelaskan, selepas penelitian dilakukan, JKM perlu mendapatkan perintah penjagaan mutlak daripada mahkamah sebelum diserahkan kepada kepada mereka atau mana-mana pihak.

Namun begitu katanya, ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abd Manaf, mempunyai akses bersyarat untuk bertemu dengan Zahin Mateen.

"Pasangan ini berpeluang bertemu dengan anak kedua mereka itu pada Hari Raya Aidiladha lalu sejak kanak-kanak itu di bawah jagaan JKM untuk dua bulan

"Tapi buat masa ini kalau nak berjumpa mereka perlu membuat temu janji. Mereka ada juga membuat panggilan video pada minggu lalu," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah di sini, pada Jumaat.

Berkongsi mengenai keadaan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan, Fahmi berkata, kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan baik, namun kanak-kanak berusia lima tahun itu merindui kedua ibu bapanya.

Mahkamah Majistret Shah Alam sebelum ini membenarkan permohonan JKM untuk mendapatkan perintah jagaan sementara adik kepada Allahyarham.

Permohonan itu dibuat selepas ibu bapa Zayn Rayyan didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang di kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Dis lepas sebelum dia ditemukan mati dibunuh pada keesokan harinya.