KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Melaka dan Pahang terus berkurang setakat 8 malam ini manakala Johor mencatatkan sedikit peningkatan bilangan mereka yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di tujuh negeri terjejas banjir menurun kepada 52,596 orang berbanding 57,980 orang petang tadi manakala kes kematian kekal tujuh orang.

Jumlah mangsa di Kelantan berkurang kepada 36,434 orang yang ditempatkan di 91 PPS malam ini berbanding 39,757 orang petang tadi.

Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tumpat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 19,231 orang diikuti Pasir Mas (16,759), Kota Bharu (403) dan Bachok (41).

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya namun dalam trend menurun iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Golok di Tumpat masing-masing pada bacaan 9.43 meter (m) dan 3.62m.

Di Terengganu, keadaan banjir semakin pulih dengan 9,315 orang masih ditempatkan di 32 PPS setakat 8 malam sekali gus menunjukkan penurunan jumlah mangsa berbanding petang tadi iaitu 10,870 orang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan 5,330 orang ditempatkan di Kuala Nerus, Dungun (2,060), Kuala Terengganu (1,747), Setiu (95), Marang (50) dan Hulu Terengganu (33).

Di Kedah, jumlah mangsa banjir juga terus berkurang kepada 5,428 orang setakat 8 malam ini berbanding 5,815 orang petang tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain menerusi satu kenyataan berkata kesemua mangsa masih ditempatkan 26 PPS membabitkan Kota Setar dengan jumlah tertinggi iaitu 3,782 orang diikuti Kubang Pasu (1,226) dan Pokok Sena (420).

Di Perak, Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa terus berkurang kepada 172 orang malam ini berbanding 282 mangsa petang tadi.

Kenyataan itu memaklumkan 102 mangsa ditempatkan di tiga PPS di daerah Kinta manakala 70 mangsa masih berlindung di dua PPS di Perak Tengah.

"PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di daerah Hilir Perak ditutup sepenuhnya pada 4.30 petang tadi berikutan banjir di kawasan terjejas telah surut dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," menurut kenyataan itu.

Di Melaka, kenyataan JBPN memaklumkan jumlah mangsa sedikit menurun kepada 162 orang setakat 8 malam ini berbanding 172 orang petang tadi.

Seramai 109 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu manakala 53 mangsa daripada 15 keluarga berlindung di PPS SK Seri Mendapat, masing-masing membabitkan daerah Jasin.

Di Pahang, berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 51 orang setakat 8 malam ini berbanding 55 orang petang tadi, namun Maran menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu selepas Temerloh dan Bera dengan empat PPS beroperasi iaitu dua di Temerloh manakala masing-masing satu di Bera dan Maran.

Sementara itu, jumlah mangsa di Johor mencatatkan sedikit peningkatan kepada 1,034 orang setakat 8 malam ini berbanding 1,029 orang petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi kenyataan berkata daripada jumlah itu, 863 mangsa daripada 246 keluarga ditempatkan di 16 PPS di Segamat manakala 171 mangsa daripada 48 keluarga berlindung di dua PPS di Tangkak.

-- BERNAMA