KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada penyanyi veteran Zaiton Sameon yang mengalami gejala hilang ingatan sementara selepas terlibat dalam kemalangan sekitar 1990.

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau Ahmad Farhan Fauzi yang beliau utuskan untuk berkunjung ke rumah Zaiton di Ampang.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan segera menyelesaikan bantuan warga emas kepada beliau (Zaiton)," kata Anwar.

Kemalangan yang menimpa Zaiton pada 1990 turut meragut nyawa anak tunggalnya.

Zaiton, 67, baru-baru ini dilaporkan media memohon bantuan kewangan bulanan JKM kerana hidup sebatang kara dengan menumpang di rumah anak angkatnya dan kurang mendapat tawaran menyanyi.

-- BERNAMA