Kabut Serangkai Mawar merupakan kolaborasi pertama syarikat milik M. Nasir, Luncai Emas Sdn Bhd bersama Mafarikha yang dicungkil bakatnya menerusi sebuah program realiti nyanyian.
Mafarikha berkata, ia merupakan satu penghormatan buat dirinya apabila berpeluang merakamkan semula lagu berkenaan.
"Kalau hendak cakap minat, mak saya lagi minat dengan Zaiton Sameon. Menaruh Harapan memang antara lagu paling digemari emak-emak kita.
"Daripada situ saya tahu tentang Zaiton Sameon. Belum pernah jumpa tetapi cerita Zaiton Ceritaku adalah antara cerita yang saya paling suka. Dia sememangnya seorang legenda," katanya.
Bercerita tentang cabaran ketika merakamkan Kabut Serangkai Mawar, Mafarikha memberitahu timbul kerisauan ketika menyanyikannya secara langsung sehingga habis.
“Antara perkara yang saya paling risau ialah untuk menyanyikan lagu ini secara live sampai habis.
“Selain daripada itu, saya mengambil tempoh yang lebih panjang untuk rakam lagu ini berbanding lagu yang pernah saya nyanyi sebelum ini untuk mendapatkan notes dan phrase yang terbaik,” ujarnya.
Mafarikha juga memberitahu, Kabut Serangkai Mawar merupakan antara lagu yang paling mencabar untuk dia nyanyikan.
"Kalau nak ikutkan, ini antara lagu paling susah saya pernah nyanyi kerana bila tempo sudah diturunkan, kita kena sustain note tu lebih lama.
"Mungkin part climax dan chorus yang terakhir kerana dia back to back high notes," katanya lagi.
Mafarikha telah berjaya menyalurkan suara lantangnya ke dalam lagu ini dengan penuh emosi dan penghayatan, serupa dengan Zaiton Sameon namun dengan keunikan dan ʻcharacterʼ tersendiri.
Sementara itu, ketika ditanya tentang rendisi baharu Kabut Serangkai Mawar ini, M. Nasir menjelaskan Mafarikha telah membawa lagu itu ke tahap yang tersendiri.
Malah komposer yang diberi gelaran sifu muzik Melayu itu mengakui mempunyai perancangan untuk menghasilkan lagu baharu yang sesuai untuk Mafarikha.