Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee hari ini berkata orang Cina tidak mungkin akan dapat hidup senang lenang jika Umno itu rasis sebagaimana yang didakwa.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa rakyat memboikot peniaga Cina yang 'degil', beliau berkata tujuan gesaan boikot itu adalah supaya semua rakyat dapat merasai nikmatnya.

"Umno tak pernah rasis. Kalau Umno rasis, Barisan Nasional (BN) rasis, orang Cina, India tidak dapat manfaat.

"Kita berjuang untuk semua... harga turun, semua dapat nikmat," kata Syed Ali ketika ditemui selepas menyertai sidang media khas oleh 92 Ketua Umno Bahagian dari seluruh Malaysia menyatakan sokongan terhadap Ismail Sabri.

Menurut beliau, tujuan Ismail Sabri menyuruh rakyat berbuat demikian adalah kerana rakyat mempunyai kuasa untuk menurunkan harga barang dengan memberi tekanan kepada peniaga-peniaga tersebut.

"Bukan sahaja orang Melayu... orang India, Cina juga kena boikot supaya harga akan turun mengikut keadaan semasa.

Beliau juga mempertahankan kenyataan Ismail Sabri sambil menjelaskan bahawa ianya dibuat atas persepsi bahawa kaum Cina menguasai ekonomi negara dan menjadi pembekal kepada peniaga-peniaga kecil yang rata-rata terdiri dari kaum Melayu dan India.

"Jadi yang menguasai ekonomi tu, turunkan lah dahulu dan nikmatnya semua akan dapat. Dan kita pun perjuangkan untuk semua kaum, bukan hanya untuk satu kaum.

"Kita tidak berjuang untuk orang Melayu sahaja, kita berjuang untuk semua.

"Sebab itu kita desak mereka yang menguasai ekonomi, mereka harus turunkan harga supaya orang-orang Melayu, Cina, India dan rakyat semua kaum dapat nikmat," kata Syed Ali.

Jelas beliau, walaupun Umno dituduh rasis, namun mereka tetap berkongsi dengan semua kaum supaya kenikmatan tidak hanya dinikmati oleh orang-orang Melayu sahaja.

Terdahulu, Syed Ali bersama 92 Ketua Umno Bahagian yang lain mendesak supaya tindakan tegas diambil ke atas Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon kerana menggesa Ismail Sabri digugurkan dari kabinet berikutan kenyataannya itu.

Mereka juga mengecam tindakan Sin Woon yang bukan sahaja mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Ismail Sabri, malah dikatakan secara terang telah menyatakan mahu berganding dengan DAP menyerang Ismail.

Sin Woon dalam kenyataannya hari ini bagaimanapun menafikan dakwaan mahu bersekongkol dengan DAP, sambil mengatakan bahawa dakwaan tersebut 'karut semata-mata'.

Katanya isu berkenaan kini sudah jauh menyimpang daripada landasan asal iaitu menurunkan harga barangan, dan sudah menjadi isu antara kaum.