KUALA LUMPUR : Pensijilan Halal digantung lantaran premis sembelihan ayam dikesan beroperasi dalam keadaan jijik dan kotor.

Itu penemuan baharu serbuan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menerusi operasi Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) di kawasan perindustrian Puchong pada Selasa malam.

Bukan sekadar kotor, anggota penguatkuasa KPDN turut mendapati bekalan ayam yang telah disembelih juga diletakkan di atas lantai yang berlumut dengan dinding tempat penyembelihan berdaki serta berkarat.

“Operasi Kita Gempur yang dijalankan dengan sinergi kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati premis ini telah melanggar beberapa aspek manual Pensijilan Halal.

“Sijil halal bagi premis ini telah digantung setelah pengendali beberapa kali gagal menepati kriteria pensijilan menerusi audit yang dijalankan sebelum ini.

“Premis ini didapati memproses ayam di luar premis dengan kesalahan berulang. Selain itu, ketidakakuran besar dengan tiada pemeriksa halal bagi penyembelihan.

“Antara lain, pelanggaran pratikal pemprosesan yang baik dari segi kebersihan.

“…sebuah jawatankuasa teknikal halal akan ditubuhkan dan keputusan sama ada untuk meneruskan atau menggantungkan kelayakan Pensijilan Halal premis ini akan diputuskan esok (Rabu),” kata Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey.

Ujar beliau lagi, asas serbuan adalah berdasarkan aduan orang ramai yang mana keadaan fizikal premis menimbulkan keraguan dari aspek kebersihan.

Tambahnya lagi, sebanyak 15,000 ayam yang disembelih di premis ini dibekalkan di pelbagai pasar raya dan kedai di sekitar kawasan lembah Klang.

Dalam operasi Kita Gempur yang terbaharu ini, seramai 12 anggota KPDN Selangor dan 8 anggota JAIS terlibat.

Dua premis penyembelihan ayam telah diperiksa malam ini di kawasan yang sama.

Kempen ini adalah merupakan gerakan massa untuk membanteras manipulasi dan ketirisan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk orang ramai khusus sekali dalam perdagangan domestik yang tidak beretika.