KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jepun akan bekerjasama dalam bidang peralihan tenaga dan isu-isu penting lain termasuk perubahan iklim serta penuaan penduduk, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Takahashi menerusi catatan terbaharunya di Twitter berkata isu-isu berkenaan telah dibincangkan semasa beliau bertemu Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

"Perbincangan yang baik mengenai peralihan tenaga serta isu-isu lain seperti digital, perubahan iklim, pengurangan risiko bencana dan penuaan penduduk.

"Saya berhasrat untuk bekerjasama rapat dalam isu-isu tersebut," katanya.

Berdasarkan kepada data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jepun merupakan salah satu sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia daripada segi projek pembuatan yang dilaksanakan dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak AS$688 juta (AS$1=RM4.405) direkodkan dari bulan Januari hingga Jun tahun ini.

Bagi perdagangan, Jepun menyumbang 6.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia yang meningkat sebanyak 49.5 peratus tahun ke tahun kepada RM17.11 bilion pada September 2022.

-- BERNAMA