Editor perunding akhbar The Sun, Zainon Ahmad, yang meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu akibat komplikasi hati petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol, di sini pagi tadi.

Allahyarham Zainon, atau Pak Non dikebumikan jam 10 pagi tadi.

Pak Non 70 tahun, meninggal dunia di hospital berkenaan jam 2.20 petang semalam dan jenazahnya di bawa pulang kediamannya di Jalan Bayam, Kota Bharu sebelum dimandi dan dikafankan pagi tadi.

Pak Non pernah menjadi guru selama tiga tahun sebelum menyertai dunia kewartawanan 35 tahun dulu dan merupakan penolong editor kumpulan akhbar New Straits Times.

Beliau kemudiannya menjadi ketua pengarang akhbar The Sun pada 2002.

Menurut rakan Pak Non, pengarah eksekutif berita dan editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Talib, Pak Non merupakan seorang tokh wartawan yang disegani serta tidak kedekut ilmu.

“Pak Non ni seorang yang tak tamak dengan ilmu kewartawanan dan dia seorang yang penyabar. Kalau dia duduk dengan wartawan baru tu dia akan guna banyak masa untuk melatih mereka untuk memindahkan kebolehannya dan ilmunya kepada orang-orang muda.

“Jadi ramai anak didiknya sekarang ni dah jadi wartawan yang berkaliber dan dia seorang yang kuat mengamalkan prinsip kebebasan akhbar,” kata beliau.

Menurut ahmad lagi, beliau pernah berkerja bersama Pak Non sewaktu di New Straits Times dan merupakan seorang yang penyabar dan banyak memberi bimbingan kepada wartawan muda.

Beliau pernah memenangi ‘media personality award’ (anugerah personality media) pada 2010.