KAJANG: Jenazah ‘maestro’ industri hiburan tanah air Datuk Hashim Said, yang lebih dikenali sebagai S. Atan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang pada jam 11 pagi Ahad.

Terdahulu jenazah Allahyarham disempurnakan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Kajang.

Turut menghadiri perjalanan terakhir beliau selain ahli keluarga ialah rakan-rakan seperjuangan dalam industri hiburan termasuk Datuk M Nasir, Datuk Ramli MS dan Datuk Fauzi Marzuki.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kajang pada jam 3.23 petang Sabtu.

Berita pemergian S Atan disahkan isterinya, Datin Norizan Yeob ketika dihubungi media.

Menurut Norizan, suaminya menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Kajang, Selangor.

S. Atan merupakan seorang komposer yang sangat masyhur menghasilkan lagu-lagu raya malar segar nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, dan ratusan lagu lain.

Sebelum ini, komposer yang banyak menghasilkan lagu tradisional serta lagu hari raya malar segar itu pernah dirawat di hospital akibat masalah buah pinggang dan angin ahmar.

Allahyarham juga pernah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada September lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.


 Komposer veteran Datuk S Atan meninggal dunia