Menurut calon BN bagi PRK Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah, jenazah bapanya Syed Abdullah Syed Abdul Hamid disolatkan di Masjid Datuk Ahmad di sini sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Syed Hussien berkata walaupun sedih dengan pemergian bapanya, beliau reda dan akan menjadikan pesanan terakhir arwah sebagai pemangkin semangat untuk menjadi pemimpin.
"Jadilah pemimpin yang baik, amanah dan disayangi rakyat... itulah kata-kata terakhir abah dan akan saya jadikan azimat untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang khususnya jika terpilih sebagai wakil rakyat di DUN Mahkota ini.
"Saya langsung tidak menyangka, hanya beberapa jam selepas dicalonkan untuk mewakili BN bagi PRK Mahkota, insan kesayangan saya terpaksa dimasukkan ke hospital dan ditidurkan akibat daripada masalah jantung yang dihidapi," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, Syed Abdullah, 67, dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini sejak Ahad lepas dan terpaksa ditidurkan sebelum disahkan meninggal dunia 7.20 malam tadi.
Syed Hussien, 40, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.
-- BERNAMA