KUALA LUMPUR: Penyanyi dan juga pelakon terkenal tanah air Adibah Noor Mohamed Omar, 51, yang meninggal dunia malam tadi dijangka dikebumikan pagi ini. 

Jenazah Allahyarham dijadual dibawa ke Masjid Al Ansar, Keramat, di sini, berhampiran rumah keluarganya pada jam 9 pagi ini.

Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai sekitar jam 10.30 pagi.

Wartawan Astro AWANI kini berada di lokasi untuk melaporkan situasi dari semasa ke semasa, juga temu bual dengan teman serta rakan seperjuangan Allahyarham sepanjang upacara berlangsung.  


Adibah Noor meninggal dunia pada jam 7.45 malam Sabtu (18 Jun) di sebuah hospital swasta di ibu negara, akibat kanser ovari.

Khabar dukacita itu mula diketahui umum menerusi hantaran di akaun Instagram kenalan artis iaitu pelakon, Datin Emylia Rosnaida.

BACA: Adibah Noor meninggal dunia

Minggu lalu, namanya kembali menjadi tajuk utama portal hiburan setelah tersebar gambar terbarunya yang kelihatan jelas mengalami pengurangan berat badan.

Namun, dalam temu bual bersama wartawan, Adibah hanya memberitahu perubahan ketara berkenaan adalah disebabkan amalan pemakanannya, iaitu dengan memilih diet yang lebih sihat semenjak bulan Ramadan lalu.

BACA: "Saya makan enam suap sahaja.." - Penampilan kurus Adibah Noor kejutkan netizen 

Kemunculan awal Allahyarham di layar perak bermula pada tahun 2005 filem seperti "Sepet", "Gubra" dan "Mukhsin" karya sutradara Yasmin Ahmad, dan sejak itu beliau membuat kemunculan dalam puluhan drama televisyen dan filem tempatan.

Dalam dunia nyanyian, beliau sempat merakamkan dua buah album studio iaitu "Terlalu Istimewa" (2005) dan "Teman" (2010), selain turut merakamkan banyak single khas, termasuk duet bersama penyanyi lain.

Sepanjang hayatnya juga, Adibah dikenali sebagai individu yang senang mendekati pengikut dan peminatnya menerusi platform media sosial.

BACA: 'Maaf, aku tak dapat tolong kerana aku sendiri memerlukan' - Adibah Noor 

Allahyarham antara lain diingati sebagai figura umum yang suka mendidik berkaitan penguasaan bahasa Inggeris, selain berkongsi cerita seni persembahan dan kesedaran menjaga alam sekitar serta haiwan terutamanya kucing.

BACA: PM ucap takziah pemergian Adibah Noor 

BACA: Adibah Noor, bintang serba boleh yang akan dirindui 

 
Belasungkawa | Pemergian Allahyarham Adibah Noor