Kata usahawan berusia 36 tahun ini, idea memulakan berniaga aiskrim dengan harga RM1 datang daripada abang kandungnya pada tahun 2017.
Tambah Mala, keluarganya merupakan penggemar aiskrim Malaysia sejak kecil malah menggemarinya sehingga sekarang.
“Siapa sangka dari kecil makan aiskrim Malaysia, sekarang saya sendiri jual aiskrim dan Alhamdulillah sambutan sangat baik.
“Aiskrim Malaysia pastinya mengembalikan nostalgia terutama apabila balik sekolah, mesti cari aiskrim Malaysia ni.
“Sampai sekarang tiga anak saya pun sangat suka makan aiskirm. Saya bersyukur dari sekadar mencuba akhirnya rezeki saya dapat bertapak dalam bidang ini. Syukur,” katanya ketika ditemui di lokasi terakhir jelajah jiwa SME di The Curve, Petaling Jaya pada Jumaat.
Tambah Nurmala, pada awalnya hanya lapan jenis perisa dijual dan kini sebanyak 19 perisa ditawarkan di pasaran.
Ini termasuk anggur, asam boi, mangga, laici, sarsi, strawberry, oren, coklat dan banyak lagi.
Dalam pada itu, ibu tiga anak ini juga gembira berpeluang dapat membuka booth di lokasi terakhir jelajah jiwa SME pada tahun ini.
“Ramai yang datang cuba rasa aiskrim RM1. Ada yang datang beli 50 ikat terus. Harga pula ada yang dijual RM1.50. Bergantung kepada perisa.
“Tetapi yang popular memang aiskrim RM1. Ia juga jadi pilihan di acara perkahwinan, hari jadi, rumah terbuka dan sebagainya.
“Saya berharap sambutan akan bertambah baik sampai esok. Kalau datang singgah sini, jangan lupa singgah booth Kedai Aiskrim Malaysia,” pesannya.
Orang ramai dijemput hadir ke sesi terakhir jelajah jiwa SME yang berlangsung selama tiga hari di acara terakhir selama tiga hari di The Curve, Mutiara Damansara bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.