KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan yang akan melibatkan kerajaan-kerajaan negeri serta pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur dan seimbang.


Ringkasan AI
  • Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Dekarbonisasi Kebangsaan dengan melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan untuk memastikan peralihan kepada pembangunan rendah karbon dilaksanakan secara teratur.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa sektor kewangan komited untuk menyokong pembangunan rendah karbon, dan segala keputusan akan menjadi asas pendirian negara di peringkat antarabangsa.
  • Malaysia komited mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050, dengan fokus mempercepat peralihan ekonomi rendah karbon dan melindungi rakyat daripada impak perubahan iklim.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkongsian dalam Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Kelima Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MTPIN) hari ini berkata pelaksanaan itu akan turut disokong dengan dasar baharu yang lebih terangkum dan menyeluruh dengan mengambil kira komitmen negara di bawah Perjanjian Paris.

"Sektor kewangan juga turut memberikan komitmen dalam memperkukuh peranan institusi kewangan dalam menyokong hala tuju peralihan pembangunan rendah karbon menerusi Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim.

"Segala keputusan hari ini akan menjadi asas kepada pendirian negara pada persidangan peringkat antarabangsa. Isu perubahan iklim serantau juga akan diberi keutamaan semasa Malaysia memegang kepengerusian ASEAN bermula tahun depan," kata Anwar.

MTPIN ialah platform perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi menetapkan dasar dan hala tuju berkaitan perubahan iklim.

Dalam mesyuarat itu, Anwar berkata Malaysia kekal komited dalam memastikan aspirasi Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih negara dapat dicapai menjelang 2050.

"Fokus utama kerajaan adalah untuk mempercepat proses peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan kepentingan melindungi rakyat daripada impak perubahan iklim yang makin dirasai negara," kata beliau.

Malah, Perdana Menteri turut menekankan pendekatan pelbagai dimensi oleh semua pihak dalam usaha mengarusperdanakan perubahan iklim dalam dasar sektoral dan rancangan pembangunan negara.

Justeru, beliau yakin inisiatif yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan memastikan negara terus progresif dalam menangani isu perubahan iklim secara holistik dan bersepadu demi melindungi generasi masa hadapan.

-- BERNAMA