Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau video dengan paparan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ia susulan pemerhatian agensi itu yang mendapati terdapat penularan gambar dan video berkaitan, sedangkan ada antara insiden berkenaan yang tidak disengajakan atau telah lama berlaku.

"Walaubagaimanapun, MCMC tidak menolak kemungkinan bahawa ada pihak-pihak tertentu yang mengubahsuai gambar-gambar berkenaan untuk agenda jahat mereka," menurut MCMC menerusi portal Sebenarnya.my hari ini.

Sehubungan itu, MCMC menasihatkan kepada pengguna media sosial, untuk tidak menyebarkan gambar-gambar sedemikian, yang boleh menyemai kebencian dan kemarahan orang awam.

MCMC turut menasihati pengguna internet untuk meningkatkan kawalan kendiri ketika mengakses internet dan tidak menggunakan platform berkenaan untuk menyebarkan kandungan-kandungan palsu, jelik, dan menghina yang boleh mengundang kemarahan serta menjejaskan ketenteraman awam.

-- BERNAMA