Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, sebahagian struktur sebuah jambatan berukuran lebih 15 meter turut roboh akibat dipukul ombak.
Difahamkan, berlaku kejadian air laut pasang besar dan pada masa sama ombak kuat turut berlaku sehingga menyebabkan kejadian terbabit.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan, Kepten Abdullah Sabaruddin mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, APM bergegas membuat pemantauan ke lokasi berkenaan selepas menerima makluman berhubung kejadian.
“Sebaik tiba kejadian ombak kuat di perkampungan terbabit sedang berlaku dan terdapat struktur jambatan dilaporkan roboh akibat dipukul ombak.
“Namun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Keadaan terkawal dan tiada sebarang pemindahan penduduk dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kejadian air laut pasang besar dan pada masa sama ombak kuat turut berlaku sehingga menyebabkan jambatan roboh. - Astro AWANI
Abdullah berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati susulan keadaan cuaca ketika ini yang tidak menentu.
Sementara itu, Astro AWANI difahamkan kira-kira jam 11.30 malam, air laut mula surut dan ombak mulai reda.