KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah pada Sabtu, ini kerana keputusan-keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

“Jakim hanya bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI,” titah baginda.

Sehubungan dengan itu, Sultan Selangor bertitah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

“Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

“Setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa Agama Islam setiap negeri.”



Tambah baginda, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah, justeru mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

Pada masa yang sama, baginda turut memaklumkan bahawa keputusan muzakarah berhubung isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani telah mendapat perkenan sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021 dan butiran penuh mengenai keputusan itu boleh dirujuk menerusi kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah pada 8 April lalu.