Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyasarkan untuk memberi suntikan vaksin mencegah penyakit anjing gila kepada 10,000 anjing di negeri ini dalam tempoh sebulan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Jabatan Veterinar Dr Kamarudin Md Isa berkata JPV Pulau Pinang akan bekerjasama dengan veterinar dari klinik swasta untuk melakukan proses suntikan vaksin itu.

Beliau berkata sebanyak 1,583 ekor anjing bertuan dan anjing liar telah diberi vaksin mencegah penyakit anjing gila di negeri ini.

"Sebanyak 17 klinik veterinar swasta dikenal pasti untuk bekerjasama dengan JPV bagi mewujudkan pusat vaksin bergerak untuk memberikan suntikan vaksin kepada anjing komuniti termasuklah anjing tidak bertuan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan wakil badan bukan kerajaan di sini hari ini.

Beliau berkata JPV telah mengenal pasti lima kawasan iaitu Tanjung Bunga, Tanjung Tokong, George Town, Batu Maung dan Pasar Rambai di Bukit Mertajam untuk menjalankan proses penyuntikan vaksin berkenaan.

Beliau berkata JPV menerima 50,000 vaksin daripada pembekal dan daripada jumlah itu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing mendapat 5,000 vaksin manakala Perlis menerima 1,000 stok vaksin.

Dr Kamarudin berkata setakat ini pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah kekurangan vaksin itu dan vaksin berkenaan akan diagih kepada negeri berkenaan secara berperingkat mengikut keperluan.

Beliau berkata JPV mengenakan bayaran RM5 untuk penyuntikan vaksin bagi setiap ekor anjing manakala veterinar swasta hanya boleh mengenakan kos perkhidmatan kepada pelanggan kerana vaksin itu diberi secara percuma oleh kerajaan.

"Sebagai permulaan sebanyak 100 vaksin akan diberi kepada 17 klinik haiwan yang dikenal pasti," katanya.

Beliau berharap dengan adanya langkah pencegahan ini, populasi anjing akan terkawal dan penularan wabak anjing gila akan berjaya disekat.