Jabatan Peguam Negara sedang menunggu hasil siasatan dan perkembangan kes bagi mencari pelaku yang menyebabkan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tiada had tempoh tertentu dalam mengendalikan kes jenayah termasuklah kes membabitkan Muhammad Adib.

Jelasnya, pengendalian kes jenayah berbeza dengan pengendalian kes sivil.

“Jabatan Peguam Negara akan ambil tindakan atas hasil siasatan pihak polis. Kita tunggu, masih dalam siasatan. Itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri.

“Dari segi SOP (prosedur operasi standard) untuk kes jenayah tak ada tempoh, bukan macam kes sivil, dia ada tempoh tiga atau enam tahun. Kes jenayah, selagi kes itu berjalan, boleh dituduh apabila pendakwa raya berpendapat kes mempunyai cukup bukti dan sebagainya.

“Mahkamah dah buat peraturan ini, kes jenayah terhadap Muhammad Adib cuma mahkamah tak boleh tentukan siapa penyebabnya. Jadi kena siasatlah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini pada Ahad.

BACA: Kematian Adib disebabkan jenayah lebih seorang individu tidak dikenali - Hakim Koroner

Tambahnya, pihak polis perlu menjalankan siasatan bagi mencari pelaku dan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Kabinet.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).