Jabatan Peguam Negara menyatakan satu mesyuarat berkenaan siasatan syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diadakan antara pendakwa raya, pakar dalam pemerolehan aset dan penyiasat dari Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland di Putrajaya baru-baru ini.

"Sukacita kami melaporkan satu mesyuarat yang berjaya antara pendakwa raya, pakar dalam pemerolehan semula aset dan penyiasat dari tiga negara yang terlibat dengan penipuan besar-besaran 1MDB telah dianjurkan jabatan ini.

"Para peserta sedar akan kepentingan dan kesegeraan usahasama dan kerjasama rentas sempadan dalam hal membanteras jenayah yang dilakukan di peringkat antarabangsa dan merentasi sempadan negara," kata kenyataan itu.

BACA: Mesyuarat pendakwaraya, penyiasat 1MDB berjaya

Jabatan itu juga yakin bahawa mesyuarat itu akan menjadi penanda aras kepada usaha yang lebih besar lagi pada masa akan datang.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada para delegasi dari luar negara atas kesudian mereka memberikan bantuan selanjutnya dalam peperangan menentang penipuan dan jenayah transnasional," katanya.

-- BERNAMA