Pertandingan Inovasi dan Rekacipta (IUIIC '15) anjuran Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) menjadi penggerak penyelidikan dan inovasi dalam kalangan ahli akademik dan penyelidik muda seluruh negara.

Presiden dan Naib Canselor IUKL, Profesor Dr Roslan Zainal Abidin berkata, pertandingan yang diadakan secara berterusan itu sekali gus akan meningkat budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar dan ahli akademik sendiri.

"Pertandingan ini terbuka kepada universiti dan sekolah menengah seluruh negara.

"Ia juga menyediakan jaringan perhubungan di antara pelajar pendidikan tinggi dan sekolah selain meningkatkan daya inovasi, rekacipta dan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli akademik dan pelajar," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

IUIIC '15 dirasmikan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Pengurusan Kumpulan Protasco Berhad, Datuk Seri Ir.Chong Ket Pen.


Dr Roslan dan Ket Pen melawat tapak pameran IUIIC '15 di IUKL - Sumber gambar IUKL

Dalam pada itu kata Dr Roslan, pertandingan itu dapat menjadi usaha penanda aras dari segi kualiti yang mampu mendorong pemenang untuk menyertai pertandingan seumpamanya di peringkat yang lebih tinggi.

"Ini anjuran kelima IUKL selepas Pertandingan Rekacipta dan Innovasi Institusi Pengajian Tinggi (PERINTIS) tahun lepas.

"Kita harap semua peserta melihat pertandingan ini sebagai perintis untuk terus mencipta nama di peringkat lebih tinggi dan antarabangsa," jelasnya.

Pada pertandingan tersebut, tiga inovasi dan rekacipta pencipta muda menggondol pingat emas iaitu dua daripada Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan dengan inovasi CATTAPA iaitu rawatan organik untuk kegunaan pertanian dan Botanic Hyperthermal Body Control Gel serta satu inovasi dari Sekolah Raja Perempuan Taayah dengan ciptaan Glach Ventilator.

Sementara, lapan kumpulan lagi memenangi pingat perak dan enam memenangi pingat gangsa.

Manakala untuk kumpulan pencipta dari universiti, pingat emas dimenangi Fakulti Kejuruteraan dan Infrastruktur Teknologi dengan hasil Transport of Sediment: Local Scale vs Scale Approach, pingat perak dimenangi kumpulan penyelidik dari Fakulti Perniagaan and Perakaunan dengan inovasi bertajuk 3Cs- Coco-Coir Compost, dan 14 ciptaan dan innovasi memenangi pingat gangsa.

Sebanyak 61 inovasi dan rekacipta dipertandingkan tahun ini.

Antaranya 20 daripada MRSM Muadzam Shah, Pahang, MRSM Gerik, Perak, Sekolah Menengah Sains Pokok Sena, Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah dan SMK Seri Kenangan, Johor.

Manakala dari IUKL pula, sebanyak 41 inovasi dan rekacipta daripada enam fakulti dipertandingkan.