Walaupun mencatat peningkatan kedudukan di tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menegaskan, langkah lebih serius perlu diambil untuk negara mencapai kedudukan 30 teratas sepertimana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Ketika ini, cabaran utama yang dikenal pasti adalah kekurangan pelaburan dalam menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), juga kesuburan gerak kerja penghasilan produk hinggalah pengkomersialannya ke pasaran yang lebih luas dan kompetitif.
“Kalau dibandingkan dengan negara-negara maju, Perbelanjaan Dalam Negara Kasar dalam Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) sebahagian besarnya disumbangkan sektor swasta, biasanya yang ideal adalah 70 peratus daripada swasta dan 30 peratus lagi daripada kerajaan.
“Selain daripada kerajaan, sektor swasta kita juga perlu melabur lebih banyak kepada usaha-usaha R&D.
“Kita ada ramai bakat dan banyak produk inovasi berkualiti tinggi tapi kurang berjaya untuk dikomersialkan, jadi jurang ini yang perlu kita rapatkan," ujar beliau.
Berdasarkan data terkini, Malaysia mencatatkan GERD pada kadar 1 peratus, jauh di belakang negara-negara maju seperti Korea Selatan (4.93 peratus) dan Jepun (3.41 peratus).
Untuk berada di kedudukan 30 teratas dunia menjelang 2025, kerajaan dijangka perlu melabur sekitar RM26 bilion setahun dan sektor swasta sebanyak RM60 bilion, menuju matlamat GERD 3.5 peratus pada 2030.
Dengan kewujudan MII nanti, ia berperanan untuk mengukur tahap inovasi di setiap negeri agar pelaksanaan invensi dijalankan dengan lebih tertumpu, cekap dan berkesan.
Selain itu, MOSTI turut melaksanakan pelbagai program untuk menggembleng usaha mencapai matlamat disebutkan, antaranya Minggu Sains Negara yang membawakan pameran di setiap negeri; Techlympics iaitu sebuah pertandingan STEM di peringkat sekolah dan belia; juga STEM Camp yang dijayakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menanam minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dalam kalangan pelajar.
“Satu lagi inisiatif adalah kerjasama antara MOSTI, Kementerian Ekonomi dan ASTRO menerusi program realiti televisyen INNOVATHON.”
“Ia merupakan satu platform terbaik untuk para inovator membuat pembentangan atau ‘pitching’ produk-produk inovatif mereka di hadapan para pemain industri juga khalayak umum," katanya.
Tegas Lih Kang, matlamat ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama semua pihak untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya cipta bertaraf dunia dan maju dengan mampan.
Pencapaian Malaysia dalam GII 2024 adalah yang terbaik sejak 2016, selepas kekal untuk tiga tahun berturut-turut di tangga ke-36 dari 2021 hingga 2023, hasil usaha bersepadu melalui Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII (JIPGII) yang ditubuhkan pada 2021 di bawah MOSTI.
GII, yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO), adalah indeks penting yang digunakan oleh negara dan syarikat multinasional untuk menilai ekosistem inovasi serta membantu dalam pembuatan dasar dan keputusan pelaburan.
Malaysia bukan sahaja berjaya memperkukuh kedudukannya secara keseluruhan, malah mengekalkan prestasi cemerlang dalam beberapa bidang utama.
Kita kekal di tangga kedua negara paling berinovatif dalam kategori Negara Berpendapatan Menengah Atas dan terus menduduki tempat pertama untuk tiga sub-indikator kritikal: Graduan dalam Sains dan Kejuruteraan, Eksport Berteknologi Tinggi, dan Eksport Barangan Kreatif.
Kuala Lumpur juga tersenarai dalam 100 Kluster Sains dan Teknologi Terbaik Dunia buat pertama kali, menduduki tangga ke-93.