KUALA LUMPUR: Bakineer 2.0, alat pembuat kuih semi automatik, menjadi bintang utama program Innovathon 2, sebuah platform realiti TV yang mempromosikan sains dan inovasi.

Direka untuk mempermudah proses pembuatan kuih raya seperti semperit dan tart, Bakineer 2.0 juga mampu menghasilkan makanan lain seperti mi, pasta, dan putu mayam, menjadikannya gajet dapur yang serba guna.

Dibangunkan oleh Mohd Juwaidy Suhaimi, graduan Kejuruteraan Kimia dari Imperial College London, Bakineer 2.0 tercetus daripada cabaran abangnya, seorang ‘home baker’, yang menghadapi kesukaran menghasilkan kuih dengan cepat dan efisien.

Masalah itu mendorong Juwaidy untuk mencipta alat yang menyelesaikan permasalahan ini melalui reka bentuk praktikal dan inovatif.

Di Innovathon 2, Bakineer 2.0 mendapat perhatian bukan sahaja kerana rekaannya yang inovatif, tetapi juga potensinya untuk dikomersialkan di peringkat global.

Program ini turut dihadiri oleh Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, yang memuji usaha Juwaidy dalam menghasilkan alat yang praktikal dan berimpak besar.

Bakineer mencatat jualan lebih 1,000 unit untuk tempoh dua tahun, dengan nilai mencecah RM1.4 juta.

Walaupun permintaan dari pasaran Asia dan Eropah terus meningkat, Juwaidy menghadapi cabaran untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan global.

Harga alat ini dijual antara RM1,000 hingga RM2,600.

Melalui INNOVATHON 2, Juwaidy bukan sahaja mendapat pengiktirafan, tetapi juga peluang untuk mendapatkan dana tambahan bagi mengembangkan Bakineer 3.0, versi yang lebih canggih.

Versi baharu ini dijangka memperluaskan fungsinya kepada lebih banyak jenis makanan dan terus menjadi penyelesaian ideal untuk pembuat kuih dan makanan di seluruh dunia.