Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) tahun ini, memfokuskan isu fenomena penuaan penduduk termasuk penambahbaikan ke atas sistem pencen dan persaraan negara.


Ringkasan AI
  • Persidangan ISWC 2024 mengenai penuaan penduduk dan persaraan membawa tema 'Ageing and Longevity: Towards a Meaningful Retirement'.
  • Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043, dengan 14% penduduk berusia 65 tahun ke atas.
  • Perubahan demografi memerlukan peningkatan penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas, dan jaminan pendapatan persaraan. Pelaburan dalam sistem perlindungan sosial adalah penting untuk memastikan tiada yang tertinggal


Bertemakan “Ageing and Longevity: Towards a Meaningful Retirement”, persidangan tahunan selama dua hari ini membincangkan beberapa topik penting termasuk jaminan pendapatan semasa usia tua, kesejahteraan minda dan gaya hidup yang lebih sihat bagi warga emas.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendekatan holistik perlu dilakukan memandangkan dunia ketika ini mengalami peralihan demografi ke arah populasi semakin tua.

Jelasnya, Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2043, di mana 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.

“Perubahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sudah pasti akan memberi kesan besar kepada masyarakat, ekonomi dan politik di seluruh dunia.

“Namun demikian, adalah penting untuk menyedari bahawa salah satu pendorong utama di sebalik dunia penuaan ialah peningkatan jangka hidup disebabkan oleh kemajuan dalam penjagaan kesihatan dan peningkatan dalam kesejahteraan umum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan ISWC  di ibu negara pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata ISWC 2024 adalah satu langkah bagi mewujudkan sistem perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat malaysia selaras dengan peralihan malaysia ke arah status negara tua.

"Walaupun peningkatan jangka hayat adalah salah satu penanda kemajuan sesebuah negara, perubahan demografi ini juga akan menimbulkan cabaran kepada masyarakat Malaysia, khususnya dalam bidang penjagaan kesihatan, kemudahan penjagaan warga emas dan jaminan pendapatan persaraan.

"Antara cabaran utama adalah perubahan landskap pekerjaan di negara ini yang semakin menjurus ke arah pekerjaan tidak formal seperti pekerja gig dan golongan bekerja sendiri.

“Oleh itu, pelaburan dalam sistem perlindungan sosial adalah penting dan merupakan tanggungjawab kita bersama untuk memastikan tiada sesiapa yang tertinggal,” ujarnya.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berucap pada Majlis Perasmian Persidangan ISWC  di ibu negara pada Selasa. - Gambar ISWC 2024

ISWC merupakan program anjuran bersama KWSP, Kementerian Kewangan (MOF), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), International Social Security Association (ISSA) dan ASEAN Social Security Association (ASSA).

Ia turut meraih kehadiran lebih 800 delegasi secara fizikal serta 1,000 secara atas talian, dan turut dijayakan bersama 19 rakan kongsi serta 25 penceramah tempatan serta antarabangsa.

Selain persidangan utama, ISWC 2024 menawarkan peserta pelbagai aktiviti menarik, termasuk gamifikasi, kiosk KWSP dan pameran yang disediakan oleh rakan kongsi termasuk Amundi Asset Management, Bank Simpanan Nasional, CGS International, FWD, J.P. Morgan, Nomura Asset Management dan Principal Asset Management.