Wajib pasang kamera litar tertutup (CCTV).

Itu pertimbangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sekiranya kes salah kendali dan penderaan di taska dan pusat penjagaan kanak-kanak terus meningkat.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, beliau melihat pemasangan CCTV adalah langkah terbaik bagi menjamin keselamatan kanak-kanak yang dihantar di pusat jagaan.

“Sebab nak yakinkan ibu bapa, CCTV adalah bai dan untuk kita (pihak taska) mendapat pelanggan masuk ke taska, kita kena tunjukkan bahawa kita ada standard tertinggi supaya siapa-siapa yang nak hantar anak adalah dalam jagaan terbaik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemi dalam majlis pra pelancaran Fiesta Wanita di sini hari ini, bagi mengulas kes tiga kanak-kanak yang diikat di sebuah taska di Bangi tempoh hari.

BACA: Kes kanak-kanak diikat: Taska beroperasi tanpa lesen

BACA: Gambar bayi diikat: Empat wanita disambung reman dua hari lagi


Maklum Rohani, taska terbabit telah ditutup dan beliau berterima kasih atas keprihatinan orang ramai yang menularkan kes tersebut hingga sampai ke perhatian dan tindakan pihak berkuasa dan penguat kuasa kementerian.

“Memanglah pasukan penguat kuasa kami sentiasa turun padang tetapi maklum balas masyarakat awam juga penting untuk maklumkan pada kami sama ada taska itu berlesen atau tidak, sebab apabila ada berlaku sesuatu, yang pertama akan ditanya adalah sama ada mereka berlesen, berdaftar atau tidak. Kalau berdaftar proses siasatannya lain.

“Taska terbabit memang salah (beroperasi tanpa lesen). Kalau berdaftar, prosedur operasi standard (SOP) kami memang ketat. Mungkin sebab itu dia tak mahu mendaftar,” ujarnya.

Sebelum ini, beliau hanya menyarankan bahawa lebih baik untuk taska dan pusat jagaan memasang CCTV, menerusi inisiatif MyMata yang diperkenal tahun lepas.

Menerusi pendekatan itu, ibu bapa dapat mengakses video keadaan semasa anak-anak mereka menerusi aplikasi mudah alih, sekaligus akan memberi keyakinan terhadap perkhidmatan pusat penjagaan.

"Saya tak kata wajib sebab kalau wajib, kita kena turun padang pantau. Wajib ini maknanya ada penalti dan ada hukuman, jadi saya minta dia buat sukarela.

“Tapi kalau banyak sangat yg berlaku ni berkemungkinan saya akan keluarkan cerita wajib (untuk pasang CCTV),” tegasnya.

Berhubung majlis pra pelancaran Fiesta Wanita, Rohani memaklumkan karnival usahawan wanita itu akan menjelajah ke 11 lokasi seluruh negara bermula di Johor Bahru pada Mac dan dijangka berakhir di Sarawak pada September 2017.

Ia diadakan sebagai platform bagi mempromosi, memasarkan serta membantu usahawan wanita dan beliau menjangkakan penyertaan 110 vendor dan usahawan dari pelbagai perusahaan selain mensasarkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung di setiap lokasi.