Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berpendapat ia sekaligus boleh mewujudkan konflik dalam melaksanakan siasatan ke atas Azam Baki berkait dakwaan isu pemilikan saham.
“Kes Azam Baki adalah konflik yang tertumpu kepada akaun yang digunakan, tetapi conflict of interest yang terwujud akibat sokongan itu adalah lebih menggusarkan, kerana konflik dalam melaksanakan siasatan dan sebagainya.. kerana pada akhirnya... ‘you are answerable to whom?’.
“Sebab itu di peringkat awal demi menjaga kredibiliti institusi, pihak #RasuahBusters menyarankan Azam Baki dicutikan atau direhatkan untuk siasatan lebih telus dan free will kakitangan SPRM melaksanakan tugasan,” jelas Nurhayati.
Tegas Nurhayati, sekiranya tiada tindakan berkenaan dari pihak SPRM, ia dilihat seolah-olah suara rakyat diketepikan.
“Rakyat juga menjadi institusi semak imbang, kita ini negara demokrasi, rakyat memilih pemimpin, jadi di mana suara kami? Kami bercakap pada hari ini, menyuarakan suara hati kerana ada yang tak kena di mata dan di hati.
“Ini yang kami sampaikan untuk dilihat, bukan macam main badminton, sana-sini balas membalas kenyataan, kami inginkan solusi,” tegasnya lagi.
Semalam, sokongan yang dinyatakan oleh SPRM ke atas Azam Baki turut dipertikaikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berpendapat seluruh kepemimpinan SPRM perlu disemak dan dirombak semula, kerana sokongan terlalu awal diberikan sedangkan siasatan belum selesai.