Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa kerana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menukar fikiran untuk mencalonkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk jawatan Perdana Menteri.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama portal The Malaysian Insight, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Guan Eng sendiri yang mencadangkan nama Ketua Menteri Sabah, tetapi berubah fikiran selepas bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau pada asalnya menerima cadangan menamakan Mohd Shafie, kerana namannya sendiri sudah tidak diterima oleh Anwar.

“Jadi dia (Guan Eng) mencadangkan Shafie Apdal untuk menjadi calon dan saya langsung tidak terlibat lagi. Saya terpaksa bersetuju. Malangnya, walaupun cadangan itu datang dari dia sendiri, tetapi bila dia bertemu Anwar, dia tukar cadangan kepada Anwar, bukan lagi Shafie.

“Jadi saya rasa sangat kecewa sebab saya telah bersetuju dengan cadangan asal. Saya tanya mereka berulang kali - betul ke anda mahukan Shafie? - dan mereka kata ya. Tetapi selepas bertemu Anwar, mereka berubah fikiran,” katanya lagi.

BACA: Tun Mahathir, lima ahli Parlimen lain kekal namakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri

BACA: Walau ada peluang, Tun M enggan jadi PM kepada gabungan politik 'tidak suci'

Dr Mahathir berkata, masalah dengan cadangan Anwar sebagai Perdana Menteri ialah, beberapa ahli Parlimen yang mahu menyertai mereka tidak mahu Ahli Parlimen Port Dickson itu menerajui kerajaan baharu.

Jelasnya lagi, sokongan Ahli Parlimen tambahan sangat kritikal untuk memastikan mereka mempunyai majoriti yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita sedang mempunyai masalah. Datuk Seri Anwar tidak mahukan saya. Sementara itu, kami merasakan saya masih mampu menarik sokongan beberapa Ahli Parlimen berbangsa Melayu. Jika kami tidak dapatkan sokongan mereka ini, kita tidak mempunyai bilangan mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan.

“Kita perlukan bilangan Ahli Parlimen lebih dari 111. Kita perlu sekurang-kurangnya 113 atau 114 Ahli Parlimen (dalam Dewan Rakyat),” katanya lagi.

Mengenai pencalonan ahli politik dari Kepulauan Borneo sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, ia sesuatu yang sangat positif kerana Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya lagi, walaupun pada peringkat awal akan ada masalah untuk mentadbir negara, tetapi ia akan kembali lancar dengan sokongan jentera pentadbiran awam yang mempunyai pengalaman luas.

Ditanya sama orang Melayu di Semenanjung Malaysia akan menyokong Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, sentimen itu perlu diuji terlebih dahulu.

“Shafie bukan orang Sabah sepenuhnya. Dia berkahwin dengan orang Melayu dari Kedah, dan anak-anaknya juga berkahwin dengan orang di Semenanjung. Dia tak pernah anggap dirinya 100 peratus orang Sabah. Dia juga pernah berkhidmat dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini,” katanya lagi.