KUALA LUMPUR: Isu buli siber akan dibawa dan dibincangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri esok dan satu pengumuman berhubung perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.


Ringkasan AI
  • Isu buli siber akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.
  • KDN dan tiga kementerian lain meneliti undang-undang dan mahkamah berkaitan hukuman bagi buli siber yang dianggap ringan.
  • Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan keperluan undang-undang lebih berat untuk menunjukkan keseriusan kerajaan terhadap buli siber.


Beliau berkata ini susulan perbincangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama tiga kementerian lain dalam satu pertemuan semalam.

"Kami meneliti satu peruntukan undang-undang dan kami juga membincangkan keputusan mahkamah yang hanya denda RM100 di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil...perlu ada tindakan undang-undang berasaskan seksyen atau akta yang lebih berat (sebagai) mesej kepada rakyat bahawa kerajaan memandang serius perbuatan buli siber ini.

"Hal ini harus diteliti, saya percaya akan ada pengumuman dalam masa terdekat ini termasuk di peringkat Jemaah Menteri," katanya kepada pemberita selepas hadir sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di Flat Sri Kelantan di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pempengaruh TikTok A. Rajeswary atau Esha, ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Susulan itu seorang pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kematian Esha didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret pada Selasa lepas

Sementara itu ditanya mengenai pelaksanaan pengeluaran pasport bagi tempoh sah laku 10 tahun, Saifuddin Nasution berkata pihaknya sedang menunggu masa sesuai untuk mengumumkan sebarang perkembangan lanjut.

Pada 12 Julai lepas, Saifuddin Nasution dilapor berkata KDN sudah bersedia mengeluarkan pasport bagi tempoh sah laku 10 tahun setelah kajian dan libat urus dibuat berkaitan kesesuaian Malaysia melaksanakan perkara tersebut.


-- BERNAMA