Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Undang-undang Azalina Othman Said untuk membincangkan isu buli siber sebelum membawanya ke mesyuarat Kabinet.
- Fahmi mendedahkan individu yang dipercayai terlibat dalam kes buli siber yang menyebabkan kematian seorang pempengaruh wanita telah mengugut wartawan, dengan menggunakan akaun media sosial palsu.
- Fahmi meminta MCMC untuk bertindak terhadap individu yang terlibat dalam buli siber melalui Facebook atau TikTok live, termasuk mereka yang mengeluarkan komen jelik atau kandungan melanggar undang-undang.
Fahmi berkata langkah itu bagi mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membawa perkara berkaitan ke mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.
"Kita nak pastikan Internet ini selamat digunakan terutama kanak-kanak dan keluarga ... jadi, kita mesti berpada-pada dan semua ini akan dibincang dengan dua menteri terlibat sebelum dibawa ke Kabinet pada Jumaat ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Pengalaman Kecerdasan Buatan CelcomDigi di Hub CelcomDigi, Subang Jaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut mendedahkan seorang individu yang dipercayai terlibat dengan kes buli siber melibatkan seorang pempengaruh wanita sehingga meninggal dunia baru-baru ini, ada menghubungi sekurang-kurangnya dua wartawan dengan perbuatan seolah-olah melakukan ancaman.
"Ada sekurang-kurangnya dua wartawan menghubungi saya, mengadu bahawa orang yang dipercayai telah melakukan buli siber terhadap mendiang Esha (A. Rajeswary) juga telah menghubungi mereka dan mereka berasa sangat takut pada masa itu.
"Hal ini kerana (individu itu) sanggup ambil gambar tempat tinggal mereka, ahli keluarga mereka, jadi ini ialah ugutan jenayah," katanya ketika ditanya mengenai tindakan pembuli siber yang menggunakan akaun media sosial palsu.
Fahmi berkata kebanyakan pembuli dalam media sosial biasanya menggunakan akaun palsu untuk mengelakkan perbuatan mereka dikesan sedangkan perlakuan itu merupakan satu kesalahan.
Keadaan itu katanya, menyebabkan ramai individu yang berdepan buli siber menderita dalam diam dan tidak mendedahkan kepada umum sehingga menyukarkan tindakan diambil.
"Masalah kita sekarang ialah kesalahan buli siber terutama dalam live (siaran langsung) seperti apa yang berlaku kepada mendiang Esha, beberapa pembuli siber ini memuat naik gambar beliau sebagai latar belakang untuk TikTok live dan jemput beratus orang yang hadir untuk mencemuh, malah sehingga boleh dianggap sebagai serangan seksual.
"Jadi, kita mesti menetapkan had ... hari ini saya telah minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk bertindak terhadap sejumlah individu yang telah didapati dalam Facebook atau TikTok live mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai membuli siber atau mengeluarkan kandungan atau memuat naik komen yang jelik dan lain-lain yang melanggar undang-undang," katanya.
-- BERNAMA