PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kehilangan Batu Puteh adalah kerana ‘kecuaian yang membawa pengkhianatan kepada negara’.


Ringkasan AI
  • Kehilangan Batu Puteh: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan kehilangan Batu Puteh sebagai kecuaian yang membawa pengkhianatan kepada negara.
  • Penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI): Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kecuaian yang menyebabkan kehilangan Batu Puteh.
  • Pengajaran dan Iktibar: Hasil siasatan RCI akan dibentangkan di Parlimen untuk dijadikan pengajaran kepada generasi akan datang tentang pentingnya mempertahankan hak dan wilayah negara.


Tegasnya, Malaysia menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) namun kecuaian yang berlaku sehingga kehilangan tanah negara tidak boleh dipandang ringan.

Tambah beliau, disebabkan itu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat ‘kecuaian’ itu sedalam-dalamnya.

“Kecuaian itu membawa pengkhianatan kepada negara. Mana ada negara dalam dunia yang melepaskan negara dengan mudah.

“Negara dalam dunia berperang, kehilangan ribuan nyawa hanya untuk mempertahankan satu wilayah kecil.

“Sebab itu, Kerajaan MADANI setuju mengadakan Suruhanjaya Diraja dan memutuskan apa yang sebenarnya berlaku.

“Mengapa negara ini, negara hebat, negara tercinta boleh izinkan pengkhianatan sebegitu rupa sehingga terlepas begitu mudah tanpa menggunakan jalur hukum mempertahankan hak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Jumaat.

Menurut Perdana Menteri lagi, dapatan siasatan daripada RCI Batu Puteh akan dibentangkan di Parlimen, terbuka untuk dibahas termasuk di luar Dewan Rakyat.

“Ini adalah untuk dijadikan pengajaran dan iktibar kepada anak bangsa yang akan datang.

“Pengajaran bahawa negara ini terbentuk atas perjuangan perit getir pejuang terdahulu yang tidak boleh kita korbankan kepentingannya,” tegas beliau.

Tambah Anwar lagi, sekiranya ada pihak memandang ringan isu tersebut, individu itu ada sikap yang bermasalah meskipun bergelar anak Malaysia.